BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Belanjawan 2025 Beri Gesaan Jelas Untuk Tindakan Lembaga Pengarah - ICDM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI menerusi pembentangan Belanjawan 2025 menyuarakan sejelasnya untuk lembaga pengarah bertindak iaitu melakukan usaha proaktif, memimpin berlandaskan tujuan dan melaksanakan kepimpinan risiko.

Kalangan lembaga pengarah juga perlu menerima kepelbagaian dan inovasi serta mengutamakan insan dan bakat dalam memperjuangkan agenda negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) Michele Kythe Lim berkata menerusi belanjawan itu, kerajaan turut memperkenalkan dasar, rangka kerja dan insentif untuk membantu tumpuan dan keutamaan syarikat.

Beliau berkata peruntukan lebih RM10 bilion merentasi bidang berkaitan insentif yang berbeza untuk bakat, pembangunan, inovasi dan untuk syarikat besar menyokong pembinaan bakat negara, menekankan keperluan untuk lembaga pengarah menumpukan kepada tonggak utama yang bertujuan menggiatkan industri dan memangkin inovasi.

“Belanjawan itu juga menekankan usaha memperoleh penyertaan lebih besar daripada semua masyarakat, terutama wanita, untuk kembali bekerja, dalam bidang keusahawanan, mencapai matlamat 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah di 100 syarikat senaraian awam utama Malaysia menjelang akhir 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata fokus penting belanjawan dan langkah berani yang diambil untuk meningkatkan kecekapan kerajaan di samping memupuk bakat untuk memacu transformasi digital negara juga menetapkan usaha yang perlu ditingkatkan syarikat.

Usaha transformasi digital negara itu meliputi bidang kecerdasan buatan (AI); keselamatan siber; sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM); Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); serta inovasi, katanya.

“Dasar baharu sudah pasti menimbulkan cabaran baharu bagi syarikat, tetapi kalangan lembaga pengarah dan pengurusan kanan mesti proaktif dalam menyediakan rancangan yang jelas ke hadapan.

“Meliputi tindakan menangani risiko masa depan serta merebut peluang dan sehinggalah menawarkan nilai sebenar kepada pelabur dan pelanggan, berdasarkan perubahan atau kemas kini dasar,” katanya.

Beliau berkata setelah melakukan semua usaha, barulah syarikat boleh memperoleh dan mengembangkan pendapatan serta mendorong Malaysia dan rakyat ke arah golongan berpendapatan tinggi.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini melibatkan peruntukan RM421 bilion.

Belanjawan itu adalah yang tertinggi pernah diumumkan, dengan RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

-- BERNAMA