BERITA TERKINI   Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | Sultan Brunei berangkat tiba di Subang untuk Lawatan Negara empat hari ke Malaysia | Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | 

Abang Johari Optimis Syarikat Penerbangan Sarawak Bakal Beroperasi Dua Bulan Lagi

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis syarikat penerbangan milik negeri itu akan mula beroperasi dalam tempoh dua bulan lagi.

“(Isu) Syarikat belon (kapal terbang) kita mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh dua bulan, jadi kita akan ada kapal terbang sendiri.

“Kapal terbang ini boleh membawa anak Sarawak dari Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 yang diadakan di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan wakil rakyat dari Sarawak. 

Abang Johari berkata perkhidmatan kapal terbang milik Sarawak itu juga bakal memudahkan pengunjung dari luar berkunjung ke negeri tersebut sekali gus dapat mempromosikan tempat tarikan pelancong.

“Kita boleh bawa pelancong ke dua Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Sarawak iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah,” katanya. 

Abang Johari sebelum ini dilaporkan berkata rancangan Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri dijangka direalisasikan hujung tahun ini dan langkah tersebut akan melonjakkan industri pelancongan serta perhubungan ke negeri itu. 

-- BERNAMA