BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

Pelabur Asing Jadi Pembeli Bersih, Aliran Masuk RM404.1 Juta Minggu Lepas

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Selepas jualan selama tiga minggu, pelabur asing beralih kepada belian ekuiti domestik, menjana aliran masuk yang ketara sebanyak RM404.1 juta minggu lepas berbanding aliran keluar sebanyak RM45.7 juta dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) dalam laporan aliran dana pada minggu berakhir 18 Oktober, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali pada Isnin, yang menyaksikan jualan sebanyak RM64.9 juta.

“Aliran masuk asing bersih terbesar adalah pada Khamis, berjumlah RM226.3 juta,” katanya.

MIDF berkata sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM181.0 juta), hartanah (RM68.6 juta) serta produk perindustrian dan perkhidmatan (RM63.8 juta).

Sementara itu, katanya sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah barangan pengguna dan perkhidmatan (RM65.4 juta), teknologi (RM13.9 juta) dan tenaga (RM10.0 juta).

“Institusi tempatan yang mencatatkan belian bersih hanya pada Isnin, berjumlah RM55.2 juta dan merupakan penjual bersih untuk baki minggu tersebut dengan jumlah jualan bersih keseluruhan sebanyak RM384.2 juta.

“Pelabur runcit tempatan, selepas belian selama tiga minggu, memutuskan untuk mengambil keuntungan, menyebabkan jualan bersih sebanyak RM20.0 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan dalam semua kelas pelabur kecuali pelabur asing, yang meningkat sebanyak 5.3 peratus. Peruncit tempatan mencatatkan penurunan tertinggi sebanyak 10.7 peratus manakala institusi tempatan merekodkan kemerosotan sebanyak 4.2 peratus,” katanya.

Di peringkat serantau, MIDF berkata aktiviti pelabur asing di Asia kekal negatif pada minggu berakhir 18 Okt 2024, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak US$1.9 bilion (US$1 = RM4.30).

Bagaimanapun, katanya aliran keluar minggu lepas mencatatkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya, menunjukkan kemungkinan sentimen yang stabil berikutan pasaran menyerap pelbagai perkembangan ekonomi global.

“Taiwan menarik aliran masuk terbesar di Asia minggu lepas, mencatatkan US$1.4 bilion.

“Jangkaan pasaran untuk kecairan yang lebih ketat meningkat berikutan pertukaran kadar faedah di Taiwan hampir kepada paras tertinggi susulan keputusan tidak dijangka oleh bank pusat pada September untuk menaikkan nisbah keperluan rizab (RRR) untuk bank sebanyak 25 mata asas, selepas peningkatan yang sama pada Jun,” katanya.

-- BERNAMA