BERITA TERKINI   Pengendalian dron tanpa kelulusan boleh datangkan risiko keselamatan, tindakan di bawah Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 - CAAM | Aktiviti dron, pesawat tanpa pemandu dilarang di kawasan terlibat dengan raptai dan sambutan Hari Kebangsaan - CAAM | Hari Kebangsaan: Ruang udara kawasan kawalan Terminal Kuala Lumpur ditutup pada 26-29 Ogos dan 31 OgosĀ - CAAM | Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | 

Kelulusan Pembangunan Taman Industri KIGIP Antara Terpantas Dalam Sejarah - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan projek Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) merupakan antara yang terpantas dalam sejarah dengan kelulusan kebenaran merancang diperoleh dalam masa kurang tiga bulan daripada tarikh pelancaran.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa berkongsi kejayaan itu berkata kebiasaannya proses ini mengambil masa lebih daripada enam bulan.

"Kemajuan projek di landasan yang betul (on track). Projek kini dipantau rapi oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diketuai oleh MITI (Sayap Pelaburan) dan Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) Perak," katanya semasa membentangkan Kad Laporan MITI bagi suku ketiga 2024, di sini, hari ini.

Majlis Pecah Tanah KIGIP disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lalu.

Tengku Zafrul berkata penyiasatan tanah sedang dijalankan oleh SD Guthrie Bhd dengan sokongan  agensi teknikal bagi proses rawatan tanah yang dijangka bermula pada Januari 2025.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri Perak dan kementerian berkenaan dalam mempercepatkan  proses," katanya.

Projek KIGIP dilaksanakan secara pendekatan Keseluruhan Kerajaan menerusi kerjasama dan sinergi antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Perak serta SD Guthrie dan Permodalan Nasional Bhd.

-- BERNAMA