Sarawak Lancar ENBASE Rancakkan Sektor Keusahawanan

KUCHING, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan Sarawak hari ini melancarkan sistem pangkalan data usahawan Sarawak yang juga dikenali sebagai ENBASE bagi merancakkan sektor keusahawanan di negeri ini. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ENBASE berfungsi sebagai platform sehenti untuk menjana analisis dan laporan bagi kerajaan negeri, seterusnya membuat perancangan holistik berdasarkan keperluan ekosistem keusahawanan di Sarawak.

“Menerusi ENBASE, kerajaan Sarawak juga akan dapat memastikan program-program khusus seperti bantuan kewangan, pembangunan kapasiti dan promosi produk sampai kepada golongan sasar yang tepat, termasuklah golongan luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menekankan agar usahawan Sarawak mengadaptasi amalam terbaik dan teknologi terkini termasuk prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan masing-masing agar lebih kompetitif.

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sarawak ‘Enterepreneur Development Coordination Committee’ (SEDCC) telah meluluskan cadangan pembangunan sistem ENBASE pada tahun lepas. 

Jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab meneliti serta menentukan dasar pembangunan dan mengkordinasi perancangan, selain pelaksanaan program dan projek keusahawanan di Sarawak.

Sementara itu, Awang Tengah memaklumkan Kementerian Kewangan telah memberi kelulusan untuk meneruskan Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) Fasa 2 di Sabah dan Sarawak Tahun 2024 melalui peruntukan secara sekali beri berjumlah RM10 juta. 

“Bagi Fasa 2, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak masih dalam proses mengenal pasti kesesuaian lokasi-lokasi Projek Tamu Desa,” katanya.

-- BERNAMA