BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

Bursa Malaysia Rendah Sedikit Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia turun sedikit pada tengah hari ini di tengah-tengah dagangan berhati-hati di pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.27 mata, atau 0.08 peratus, kepada 1,644.41 daripada paras penutup 1,645.68 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka lebih tinggi naik 1.78 mata kepada 1,647.46.

Suasana pasaran kekal negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 475 berbanding 334 manakala 476 kaunter tidak berubah, 1,196 tidak diniagakan dan 13 digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.27 bilion unit bernilai RM936.54 juta.

Memandangkan prestasi Wall Street yang bercampur-campur semalaman, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka pasaran akan kekal diniagakan berhati-hati. 

Bagaimanapun, firma sekuriti itu berpandangan perhatian mungkin beralih kepada sektor yang bakal mendapat manfaat daripada dasar Belanjawan 2025, termasuk pembinaan, hartanah, teknologi dan tenaga boleh baharu.

"Kami menjangkakan pasaran kekal berhati-hati memandangkan beberapa syarikat utama Amerika Syarikat (AS) akan mengumumkan keputusan mereka minggu ini.

“Selain itu, peniaga akan memantau rapat data ekonomi utama, termasuk tuntutan pengangguran AS dan indeks pengurus pembelian pembuatan dan perkhidmatan," katanya.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata FBM KLCI dijangka diniagakan tidak berubah apabila pelabur terus menilai butiran terperinci keseluruhan Belanjawan 2025 sementara menunggu musim keputusan kewangan AS yang akan datang.

Selain itu, bank pelaburan tersebut berkata prospek itu mungkin terjejas oleh risiko luaran, termasuk potensi konflik Timur Tengah merebak lebih jauh, pilihan raya AS yang penuh perbalahan dan ketidakpastian berhubung langkah rangsangan China dan rancangan pemulihan ekonominya.

Di pasaran tempatan, dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.64, Tenaga Nasional turun 10 sen kepada RM14.54 manakala Public Bank dan CIMB Group jatuh satu sen setiap satu masing-masing kepada RM4.56 dan RM8.19.

Dalam kalangan kaunter cergas, Niche Capital Emas meningkat dua sen kepada 18.5 sen, MY E.G. Services menambah satu sen kepada 90 sen, Sarawak Cable naik setengah sen kepada 12.5 sen dan Alpha IVF tidak berubah pada 36.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah menokok 14.67 mata kepada 12,290.31, Indeks FBMT 100 meningkat 2.05 mata kepada 12,073.31 dan Indeks FBM 70 naik 45.42 mata kepada 17,788.36.

Sebaliknya, Indeks FBM Emas turun 1.21 mata kepada 12,367.26 dan Indeks FBM ACE susut 5.97 mata kepada 5,102.97.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.06 mata kepada 177.16 dan Indeks Perladangan naik 12.36 mata kepada 7,253.53, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 1.5 mata kepada 19,475.70 dan Indeks Tenaga turun 2.97 mata kepada 858.11.

-- BERNAMA