BERITA TERKINI   KPKT salur RM146 juta untuk bina rumah mesra rakyat, pasar baharu dan taman awam di Kelantan - Nga | Projek naik taraf Pasar Siti Khadijah dijangka siap sepenuhnya tahun ini - Nga | Kerajaan beri pertimbangan sewajarnya pelantikan Nick Adams sebagai duta Amerika Syarikat ke Malaysia - PM Anwar | Kemalangan bas bawa pelajar UPSI: Laporan awal boleh diakses di laman sesawang rasmi Kementerian Pengangkutan hari ini | Pestec International Bhd umum Lim Pay Chuan bukan lagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan | 

TNB Dijangka Raih Pulangan Stabil Daripada Loji Janakuasa Hidro Menerusi HLEP

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka mencatat pulangan stabil berterusan daripada loji janakuasa hidro susulan pelaksanaan Program Pelanjutan Hayat Hidro (HLEP).

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) berkata HLEP yang diluluskan pada 2022, merangkumi usaha pengubahsuaian enam loji janakuasa hidro di Sungai Perak dengan kapasiti terkumpul kira-kira 650 megawatt (MW).

TNB dilaporkan membuat pelaburan RM5.8 bilion dalam projek itu dan keenam-enam loji terbabit dijangka menyumbang RM200 juta setahun kepada perolehan pendapatan kumpulan sebelum cukai dan faedah.

Dalam nota penyelidikannya, RHB IB berkata perjanjian pembelian tenaga juga telah dimeterai dengan tarif lebih tinggi dalam julat 45 sen hingga 71 sen bagi kilowatt-jam (kWj).

“Berikutan itu, Kadar Pulangan Dalaman (IRR) boleh mencecah dua angka berdasarkan tempoh kontrak selama 40 tahun,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata ini turut memberi kejelasan lebih mendalam mengenai potensi projek utama fotovoltan hidro terapung hibrid (HHFS) berkapasiti 2.5 gigawatt TNB di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara susulan lawatan teknikal ke Stesen Janakuasa Hidro Chenderoh di Perak, baru-baru ini.

Stesen itu yang dipilih bagi Fasa 1 projek HHFS, berpotensi menjana sehingga 70MW tenaga solar AC terapung (arus ulang-alik).

“Projek ini di peringkat pembangunan lanjutan sementara menunggu beberapa kelulusan kawal selia berkaitan selain memuktamadkan model perniagaan.

"Pembinaannya dijangka bermula pada suku pertama 2025 bagi tempoh 15-20 bulan. TNB menyasarkan untuk menutup projek itu dengan IRR mencatat peningkatan satu digit," katanya.

RHB IB bagaimanapun berkata impak pendapatan daripada Fasa 1 HHFS dijangka tidak ketara untuk TNB.

Selain itu, bank pelaburan berkenaan turut mengekalkan unjuran pendapatan serta harga sasaran saham TNB pada RM16.70.

“TNB sepatutnya terus meraih manfaat daripada usaha peningkatan berterusan dalam aset penghantaran dan pengedaran dengan permintaan tenaga disokong oleh pembangunan pusat data yang terus meningkat," katanya.

Sementara itu, AmInvestment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas TNB dengan nilai saksama berasaskan aliran tunai diskaun yang tidak berubah pada RM14.55 sesaham.

Bank pelaburan itu turut memberi penarafan tiga bintang bagi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus TNB.

-- BERNAMA