BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

Untung Bersih Suku Kedua MNRB Naik Kepada RM92.74 Juta

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd mencatatkan kenaikan dalam keuntungan bersihnya kepada RM92.74 juta pada suku kedua (S2) berakhir 30 Sept, 2024 daripada RM41.57 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat itu berkata kenaikan itu dipacu oleh “pengalaman tuntutan yang lebih baik, peningkatan kadar faedah dan pergerakan kadar pertukaran asing” serta lebih banyak sumbangan daripada syarikat bersekutu.

Bagaimanapun, hasil merosot 0.3 peratus kepada RM974.34 juta berbanding RM977.52 juta sebelum ini.

"Penurunan itu disebabkan oleh kejatuhan dalam hasil insurans daripada perniagaan insurans semula yang diimbangi oleh pertumbuhan dalam hasil takaful am yang diperoleh daripada perniagaan motor dan kebakaran serta takaful keluarga," kata syarikat insurans itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, MNRB mencatat pertumbuhan keuntungan bersih kumpulan yang memberangsangkan sebanyak 66.4 peratus, melonjak kepada RM184.94 juta daripada RM111.10 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan itu didorong oleh prestasi operasi yang lebih baik, "terutamanya dalam bahagian insurans semula dan takaful am kami."

Selain itu, syarikat-syarikat bersekutu turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan, katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Bagaimanapun, hasil tidak berubah kepada RM1.92 bilion.

Premium bertulis kasar yang disatukan dan sumbangan berjumlah RM1.8 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2025, berbanding RM1.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan dalam pendapatan pelaburan sebanyak RM19.6 juta kepada RM219.6 juta daripada RM200 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2024, didorong oleh pendapatan faedah dan keuntungan yang lebih tinggi daripada deposit tetap dan pelaburan bon.

Semasa tempoh dalam tinjauan, pulangan tahunan ke atas ekuiti (ROE) MNRB meningkat kepada 11.0 peratus daripada 8.7 peratus pada separuh pertama fiskal 2024, mencerminkan kesihatan kewangan yang kukuh dan pertumbuhan strategik.

Mengulas prestasi MNRB pada separuh pertama tahun kewangan, Pengerusi Datuk Johar Che Mat berkata asas kukuh dan penawaran komprehensif bagi penyelesaian insurans semula, takaful semula dan takaful kumpulan adalah penting dalam memacu pertumbuhan dan keuntungan.

“Perniagaan insurans semula/takaful semula kami terus mengembangkan jejak globalnya, manakala perniagaan takaful runcit kami terus meningkatkan pengalaman pelanggan melalui teknologi inovatif,” tambahnya.

Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re), cabang insurans semula/takaful semula kumpulan itu menghasilkan prestasi kukuh dengan peningkatan 56.7 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM140.6 juta daripada RM89.7 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2024.

Premium bertulis kasar dan sumbangannya kekal kukuh pada RM1.2 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2025, disumbangkan oleh pertumbuhan daripada segmen perniagaan luar negara dan tempatan.

Selain itu, pada separuh pertama tahun kewangan 2025, perniagaan takaful runcit kumpulan iaitu Takaful IKHLAS yang terdiri daripada Takaful Ikhlas General Bhd dan Takaful Ikhlas Family Bhd mencatatkan peningkatan 3.2 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM35.7 juta daripada RM34.6 juta dalam tempoh yang sama lalu tahun lalu.

Caruman bertulis kasar Takaful IKHLAS berjumlah RM672.7 juta, didorong terutamanya oleh segmen takaful amnya, katanya.

Pada masa depan, Johar menyatakan: “Kami kekal komited untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan bagi MNRB Group, memastikan penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan kami.”

-- BERNAMA