BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

NTIS Peruntuk RM80.84 Juta Galak Penyelesaian Inovatif

SHAH ALAM, 24 Okt (Bernama) -- Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS)  memperuntukkan RM80.84 juta bagi membiayai 100 projek dalam usaha merangsang pembangunan penyelesaian inovatif dari Julai 2020 hingga Disember 2023.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata melalui NTIS kementerian telah menubuhkan "regulatory sandboxes" yang memberikan peluang kepada inovator untuk menguji dan membangunkan penyelesaian dalam situasi sebenar sambil memastikan aspek keselamatan dan keberkesanan dipelihara.

Beliau berkata sempena ulang tahun ketiga NTIS sebanyak 49 syarikat berjaya menyiapkan projek mereka dengan 28 permohonan mencapai peringkat komersialisasi, menjana jumlah jualan RM87.28 juta.

“Selain itu, empat syarikat berjaya menembusi pasaran eksport dengan nilai berjumlah kira-kira RM957,000. 

“Inovator daripada pelbagai sektor tidak hanya berhasil mengkomersialkan penyelesaian yang canggih tetapi juga memberikan impak besar dalam bidang seperti bandar pintar, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pertanian,” katanya.  

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sambutan ulang tahun ketiga NTIS dan pelancaran "Property Technology (PropTech) Sandbox" di sini hari ini.

Sejak 15 Julai 2020, NTIS yang diterajui MOSTI telah menyediakan peluang kepada para penyelidik, inovator, syarikat pemula dan usahawan teknologi tinggi untuk menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan serta mekanisme penyampaian dalam persekitaran sebenar.

NTIS juga berperanan sebagai platform memudahkan isu berkaitan peraturan yang dihadapi oleh penyelidik dan usahawan selain membantu mengurangkan halangan kemasukan ke pasaran melalui proses tertentu.

Sementara itu, Mohammad Yusof berkata pelancaran kerjasama NTIS dengan SP Setia hari ini telah memperluas sempadan inovasi dalam sektor teknologi hartanah, khususnya untuk bidang teras SP Setia.

“Melalui sandbox ini, kita berusaha untuk memajukan integrasi teknologi rumah pintar, bahan binaan inovatif dan penyelesaian cekap tenaga dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti persekitaran hidup.

“Inovasi ini bukan sahaja mewujudkan masa depan pembangunan perumahan tetapi ia juga selaras komitmen S P Setia terhadap kelestarian dan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA