BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

BMS 2024 Galakkan Amalan Menabung

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM19 bilion jumlah deposit daripada produk Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) diterima dengan bilangan akaun berjumlah 6.61 juta setakat 30 Sept lepas.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata Simpan SSPN akan terus kekal sebagai produk yang berdaya saing dan menjadi tabung pendidikan utama pilihan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Dalam tempoh dua dekad ini dengan sokongan padu daripada pelanggan, saya optimis PTPTN akan dapat mencapai sasaran deposit BMS 2024 sebanyak RM220 juta.

“Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, pelepasan cukai individu terhadap simpanan bersih dalam Simpan SSPN dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi hingga 2027,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 hari ini.

Norliza berkata usaha berkenaan mencerminkan sokongan kerajaan dalam menggalakkan penabungan dari awal usia untuk pendidikan tinggi dan inisiatif itu juga sewajarnya menjadi peluang keemasan kepada golongan ibu bapa untuk menyimpan melalui Simpan SSPN.

BMS merupakan program utama PTPTN dalam membudayakan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.

Tahun ini ialah yang ketujuh penganjurannya sejak 2018 dan ia satu usaha untuk menyebarluaskan manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat Malaysia bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Okt setiap tahun.

“Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful terhadap pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan hingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan.

“Bersempena dengan 20 tahun Simpan SSPN, buat julung kalinya, PTPTN melancarkan lagu Simpan SSPN berjudul Terbang Tinggi yang melambangkan komitmen PTPTN dalam usaha menyuburkan amalan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2024, penyampaian hadiah pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 Kategori Cabutan Siri WOW! Merdeka dan penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent.

BMS kali ini bertemakan fantasi dan mengekalkan slogan "Jom Jadi Superhero Anak Anda" yang mengangkat idea dan kreativiti untuk merangsang daya imaginasi dan perkembangan fikiran kanak-kanak bagi meneroka ilmu dan pengalaman baharu serta menyerlahkan potensi mereka.

Tema itu juga signifikan dengan moto PTPTN “Peluang Kejayaan Anda” iaitu memenuhi impian anak-anak untuk mengecapi kejayaan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan persediaan kewangan yang baik.

Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam Simpan SSPN, Jenga Family Competition Simpan SSPN, penampilan khas P&T Simpan SSPN, penampilan khas Didi & Friends, Snap & Win dan Happy Hour.

-- BERNAMA