BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | Belum pernah ada dalam sejarah kerajaan jatuh kerana belanja besar untuk rakyat, sebaliknya disebabkan rasuah - PM Anwar | Pemaju perumahan mampu milik mesti siapkan projek segera, ikut jadual dan mengutamakan mutu - PM Anwar | Malaysia kekal lokasi yang kompetitif terutama sebagai hab logistik panel solar dalam keadaan kenaikan tarif AS ke atas peralatan solar dari Asia Tenggara - Loke | Sebagai negara rakan BRICS, Malaysia mahu berkembang ke pasaran BRICS-ASEAN dalam jangka masa panjang - Loke | 

Sorento Capital Disenarai Di Pasaran ACE, Mahu Perluas Projek Pembinaan Baharu

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Sorento Capital Bhd akan perluaskan operasi dalam pasaran pembinaan baharu dan pengubahsuaian dengan menyasarkan segmen bangunan tambahan termasuk rumah mampu milik, hotel dan bangunan pejabat susulan penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.

Pengarah Urusannya Loo Chai Lai berkata jualan berasaskan projek Sorento Capital ketika ini tertumpu dalam projek kediaman.

"Untuk mengukuhkan kedudukan jenama, Sorento Capital akan membangunkan video, maklumat grafik dan perpustakaan dalam talian direka khusus bagi menyediakan maklumat produk komprehensif dan sokongan latihan untuk peniaga dan kakitangan jualan projek kami.

"Dengan bekerjasama dengan agensi pengiklanan, kami menyasarkan untuk meningkatkan sesi libat urus dengan pelanggan, pengalaman membeli oleh pelanggan dan kehadiran digital kami menerusi pengoptimuman enjin carian dan strategi pemasaran," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pada penampilan sulungnya di Pasaran Ace hari ini, saham penyedia penyelesaian peralatan sanitari bilik mandi dan dapur dibuka pada 37.5 sen, naik 0.5 sen harga terbitan 37 sen dengan jumlah dagangan sebanyak 20.77 juta saham.

Pada 12:02 tengah hari, harga saham Sorento Capital kekal stabil pada 37.5 sen, menjadikannya kaunter paling aktif didagangkan pada sesi dagangan pagi dengan 100.31 juta saham bertukar tangan.

Saham Sorento Capital ditutup pada 37.5 sen dengan jumlah dagangan sebanyak 141.91 juta.

Ditanya mengenai kesediaan syarikat untuk cukai karbon dicadangkan oleh kerajaan terhadap industri besi, keluli dan tenaga menjelang 2026, Loo berkata syarikat itu sudah bersedia walaupun masih tidak pasti sama ada harga produknya akan terjejas.

Loo berkata syarikat itu komited untuk menghasilkan lebih banyak produk mesra alam pada masa depan, seiring dengan dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Pada masa ini, kami juga menyediakan produk penjimatan air yang mematuhi Piawaian Industri Perkhidmatan Pembetungan dan Skim Pelabelan Produk Cekap Air," katanya.

Daripada RM57.4 juta diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO), RM31.4 juta (54.7 peratus) akan digunakan untuk modal pusingan untuk pembelian inventori, RM6.0 juta (10.5 peratus) untuk usaha penjenamaan dan promosi dan RM6.0 juta lagi untuk pengembangan rangkaian peniaga dan peningkatan capaian pengedaran.

Selain itu, RM9.0 juta (15.6 peratus) akan diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan baki RM5.0 juta (8.7 peratus) akan menampung perbelanjaan penyenaraian.

Syarikat itu juga memperincikan rancangan untuk merekrut kira-kira 200 peniaga baharu di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk meningkatkan keterlihatan jenama, mengembangkan bahagian pasaran dan memacu prestasi kewangan lebih kukuh.

-- BERNAMA