BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | Belum pernah ada dalam sejarah kerajaan jatuh kerana belanja besar untuk rakyat, sebaliknya disebabkan rasuah - PM Anwar | Pemaju perumahan mampu milik mesti siapkan projek segera, ikut jadual dan mengutamakan mutu - PM Anwar | 

Harga Eksport Malaysia Susut 0.6 Peratus Kepada 149.3 Mata Pada September - Jabatan Perangkaan

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Harga eksport Malaysia pada September 2024 susut 0.6 peratus kepada 149.3 mata daripada 150.3 mata pada bulan sebelumnya manakala harga import jatuh 1.9 peratus kepada 127.1 mata, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, terma perdagangan Malaysia meningkat 1.3 peratus bulan ke bulan kepada 117.5 mata pada September manakala pada asas tahunan, terma perdagangan Malaysia menokok 6.1 peratus daripada 110.7 mata pada September tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport susut sebanyak 0.6 peratus pada September 2024 berbanding Ogos 2024, dipacu oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.0 peratus), barang-barang keluaran kilang (-1.4 peratus) dan bahan kimia (-0.8 peratus).

Pada masa yang sama, indeks volum eksport susut 3.2 peratus selaras dengan penyusutan indeks barang-barang keluaran kilang (-12.4 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (-10.6 peratus) dan minyak galian (-10.2 peratus).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut merosot 13.5 peratus daripada 170.3 mata kepada 147.3 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit naik 3.3 peratus manakala indeks volum jatuh 3.4 peratus.

DOSM berkata indeks nilai seunit import menurun 1.9 peratus pada September 2024, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-9.8 peratus), bahan kimia (-1.0 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.5 peratus). 

Indeks volum import turut jatuh 8.5 peratus pada September 2024 berbanding bulan sebelumnya, disebabkan oleh kejatuhan dalam indeks bahan kimia (-18.5 peratus), barang-barang keluaran kilang (-14.2 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-8.0 peratus).

Indeks volum import pelarasan bermusim merosot 18.2 peratus daripada 229.1 mata kepada 187.3 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import menyusut 1.4 peratus dan indeks volum bertambah 14.0 peratus.

Namun begitu, terma perdagangan Malaysia berkembang 1.3 peratus bulan ke bulan kepada 117.5 mata pada September 2024, dipacu oleh kenaikan indeks minyak galian (6.4 peratus), makanan (1.2 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.7 peratus).

-- BERNAMA