BERITA TERKINI   Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid meninggal dunia tengah hari tadi | Inflasi Malaysia naik 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa - PM Anwar | Puasa satu ujian keikhlasan, disiplin dan integriti - PM Anwar | Mulakan Ramadan dengan perasaan tawaduk, muhasabah dan perbaiki diri - PM Anwar | 

OB Holdings Mula Disenaraikan Di Pasaran ACE Sasar Ganda Kapasiti Pengeluaran Pada 2026

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- OB Holdings Bhd menyasar untuk menggandakan kapasiti pengeluaran menjelang 2026 menerusi kilang baharu di Serendah, Selangor.

Pengarah Eksekutif Boey Lee Bao Yu berkata kemudahan baharu itu dijangka siap pada separuh pertama 2025 dan pengeluaran komersial pula bermula pada separuh pertama 2026.

“Kami merancang untuk membeli jentera baharu bagi menyokong pengembangan kapasiti kami.

“Kami juga mahu menubuhkan makmal baharu untuk meningkatkan aktiviti pembangunan produk di samping menyokong pengkulturan dalaman bagi strain probiotik,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE, Bursa Malaysia di sini, pada Selasa.

OB Holdings membuat makanan tambahan dan produk tambahan diet di bawah pelbagai jenama dalaman serta untuk pemilik jenama pihak ketiga.

Sahamnya mula disenaraikan pada 25 sen, premium satu sen daripada harga terbitan 24 sen dengan 6.4 juta saham bertukar tangan.

Tranche awam bagi tawaran awam permulaan (IPO) telah terlebih langgan sebanyak 109.47 kali.

Mengenai pertikaian undang-undang antara anak syarikat milik penuhnya, Orient Biotech Sdn Bhd, dan Nature One Dairy (Hong Kong) Ltd berkaitan formulasi produk susu tepung baharu yang menyerupai syarikat Hong Kong itu, pengurus besar OB Holdings Lew Yoke Chin berkata pihaknya melaksanakan langkah untuk memastikan semua formulasi adalah berbeza bagi setiap pelanggan di samping memenuhi keperluan mereka.

Syarikat itu menjangkakan tiada sebarang risiko ketara yang boleh menjejaskan syarikat dari segi prospek perniagaan masa hadapan atau prestasi kewangannya.

-- BERNAMA