BERITA TERKINI   Kerajaan tidak pernah bincang cadangan cukai langganan ChatGPT - Fahmi | Jenayah pedofilia, aktiviti penipuan di media sosial tidak boleh diberi peluang untuk berleluasa - Fahmi | Kerajaan tidak berkompromi terhadap keselamatan kanak-kanak dan keluarga di media sosial - Fahmi | 

IOI Properties Majukan Rio City Bernilai RM12 Bilion Dalam Tempoh 12 Tahun

PUCHONG, 29 Okt (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah melancarkan pelan induk IOI Rio City, pembangunan bersepadu seluas 40.46 hektar (100 ekar) bernilai RM12 bilion dalam tempoh 12 tahun. 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Teh Chin Guan berkata pembangunan itu, yang merupakan tanah perdana terakhir yang dimilikinya di Bandar Puteri Puchong, bertujuan mengubah Rio City menjadi 'bandar dalam bandar' memakai standard tertinggi dengan pelbagai kemudahan dan lanskap sama dengan konsep pembangunannya di Singapura.

"Komponen utama pembangunan ini ialah pusat beli-belah yang dipanggil IOI Mall Rio. Ia memiliki ruang boleh sewa berkeluasan satu juta kaki persegi dengan lebih 300 kedai runcit. Akan ada penyewa yang menarik selain peruncit utama antarabangsa, pusat konvensyen dan kompleks sukan.

"IOI Mall Rio akan mengikut rekod kejayaan portfolio runcit kami yang menjadi mercu tanda seperti IOI City Mall dan IOI Mall Puchong," katanya kepada pemberita hari ini semasa pameran IOI Rio City di sini. 

Sebuah firma seni bina dan perancangan dari Amerika Syarikat, Arcadis, akan mereka bentuk pembangunan itu dengan berpaksikan komuniti bersama penyelesaian kehidupan mampan yang akan merangkumi pengecas kenderaan elektrik (EV), panel solar dan penuaian air hujan.  

Teh berkata IOIPG komited sepenuhnya untuk menangani kebimbangan penduduk dan pemilik kenderaan melalui sumbangannya kepada projek tebatan banjir kerajaan di sepanjang Lebuhraya Damansara Puchong, yang dijangka siap menjelang Disember ini dan telah memberi jaminan bahawa seluruh kawasan Bandar Puteri berada pada permukaan tanah yang tinggi.

"Infrastruktur yang dirancang dengan baik dan pelaksanaan pembangunan bersepadu yang komprehensif adalah kunci kepada kehidupan mampan di IOI Rio City.

"Integrasi sistematik kemudahan utama, perkhidmatan, keperluan pengangkutan serta ruang awam akan direka bentuk bagi menyokong jangkaan pengembangan ekonomi kawasan ini selain mewujudkan pelaburan yang menarik untuk pemaju, penduduk dan bakal pelabur," kata Pengurus Besar Kanan IOIPG, Chung Nyuk Kiong. 

IOIPG juga akan menyiapkan hampir 1,600 unit kondominium gaya hidup, kedai runcit kejiranan dan rumah kediaman dalam pembangunan tersebut, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sebagai pelengkap kepada pusat membeli-belah itu, pelan induk berkenaan akan merangkumi pancuran air dan halaman awam yang mesra haiwan, yang direka sebagai pusat komunal bagi merapatkan masyarakat.

Di samping itu, Chung berkata kedudukan Bandar Puteri Town Park seluas 4.42 hektar (10.93 ekar) berdekatan, yang mengandungi lebih daripada spesies 89 flora dan 135 fauna turut menjadi tarikan utama kepada pencinta alam semula jadi. 

-- BERNAMA