BERITA TERKINI   Kerajaan peruntuk RM3.5 juta perluas Program KasihnITa 2026, sasar 5,000 ibu tunggal di seluruh negara - Nancy | Malaysia kekal di landasan capai sasaran negara AI menjelang 2030 meskipun ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat - Gobind | KKR bina 91 bilik darjah di 70 sekolah guna kaedah modular, IBS libat kos RM80 juta daripada KPM - Ahmad Maslan | Diskaun bil elektrik 25 peratus di Sarawak bermula bulan ini hingga Dis 2026, manfaat 714,557 pengguna domestik - Premier | Sewa di premis kerajaan dikurangkan 50 peratus bagi peniaga kecil, sederhana di Sarawak - Premier | 

Bina Puri Selesai Pengeluaran Kemudahan Kredit RM73 Juta Daripada MBSB

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri) hari ini mengumumkan bahawa anak syarikatnya, Sumbangan Lagenda Sdn Bhd telah menyelesaikan pengeluaran kemudahan kredit berjumlah RM73 juta daripada MBSB Bank Bhd.

Bina Puri dalam satu kenyataan hari ini berkata kemudahan kredit daripada MBSB secara signifikan akan  mengukuhkan kedudukan kewangan Sumbangan Lagenda dengan ketara sebagai pengendali The Main Place Mall @ USJ 21 di Subang Jaya.

“Pembiayaan itu membolehkannya memenuhi keperluan modal kerja, meningkatkan tawaran, menarik penyewa baharu dan menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih baik.

Pembangunan The Main Place pada asalnya merupakan sebuah hartanah lama dan usang yang terbengkalai kira-kira 16 tahun, Bina Puri menerusi Sumbangan Lagenda menjalankan projek pembangunan semula dan ia siap pada 2014.

Sejak itu, The Main Place Mall telah mencapai kadar penyewaan lebih daripada 90 peratus.

“The Main Place Mall adalah kompleks membeli-belah berorientasikan keluarga. Ia merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur menggabungkan komponen kediaman, rekreasi, runcit serta makanan dan minuman (F&B),” kata Bina Puri.

Menurutnya, Spectrum International University College, salah satu penyewa di The Main Place baru-baru ini mengembangkan ruangnya hampir 20,000 kaki persegi, selain itu jenama terkenal seperti Kids Nation dan Bungkus Kaw Kaw menjadi penyewa terbaharunya.

Secara keseluruhan, Bina Puri yakin bahawa momentum positif itu akan terus memacu pertumbuhan berterusan The Main Place Mall.

-- BERNAMA