Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar US
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi hari ini berbanding mata wang Amerika Syarikat (AS) kerana peniaga dan pelabur kekal berjaga-jaga menjelang pilihan raya presiden AS, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu naik kepada 4.3755/3805 berbanding dolar US daripada 4.3760/3810 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit kekal rendah nilainya berbanding dolar US disebabkan tarikh pilihan raya presiden AS antara Kamala Harris dan Donald Trump semakin hampir, iaitu pada 5 November depan.
“Trump mungkin menang dalam pilihan raya ini dan dijangka melaksanakan ‘dasar kurang mesra’ terhadap China antaranya tarif...ia menjadi agenda utama. Justeru, kebimbangan adalah mengenai peningkatan kos menjalankan perniagaan dan tindakan daripada China sekiranya dasar itu dilaksanakan serta kesannya terhadap inflasi.
“Semua ini akan menjasi tanda tanya mengenai prospek keputusan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS. Di bawah keadaan sedemikian, nampaknya peniaga akan mengambil tindakan selamat dengan meningkatkan pegangan mereka dalam dolar US. Akibatnya. ringgit akan terus kekal lemah dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.8591/8625 daripada 2.8516/8550 ketika ditutup pada Selasa, ia susut berberbanding pound Britain kepada 5.6877/6942 daripada 5.6805/6870 semalam dan merosot berbanding euro kepada 4.7430/7485 daripada 4.7344/7398 sebelumnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 278.5/279.0 daripada 277.4/277.9 ketika ditutup semalam dan menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.3080/3120 from 3.3044/3084.
Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.51/7.52 dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9837/13.0047 daripada 12.9544/9746 sebelumnya.
-- BERNAMA