BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Unit Haily Raih RM65.1 Juta Kontrak Pembinaan Di Johor Bahru

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Haily Group Bhd, Haily Construction Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM65.1 juta daripada Austin Senibong Development Sdn Bhd.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kontrak berkenaan termasuk kerja pembinaan dan penyiapan Fasa 6C di Bandar Jaya Putra, Johor Bahru.

Di bawah kontrak berkenaan, Haily akan menyaksikan pembangunan 206 unit rumah teres dua tingkat serta pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Kontrak selama 15 bulan itu bermula pada 2 Dis, 2024 dengan kerja utama merangkumi sebuah rumah pameran, unit contoh dan sebuah stesen janakuasa TNB yang akan disiapkan pada 1 Jun 2025.

Sementara itu, kerja-kerja pemasangan cerucuk pula dijadualkan siap dalam tempoh dua bulan dari tarikh bermulanya kontrak.

Dalam pada itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group Bhd See Tin Hai berkata projek ini selaras dengan komitmen strategik Haily untuk mencipta pembangunan kediaman berkualiti di Johor.

“Kemenangan kontrak terkini Haily membawa jumlah nilai kontrak syarikat untuk 2024 kepada kira-kira RM527.41 juta, sekali gus melebihi RM272.14 juta yang diperoleh pada 2023.”

“Pada masa ini, Haily mempunyai 27 projek yang sedang dibangunkan dengan jumlah nilai kontrak kira-kira RM923.03 juta,” katanya.

Projek berkenaan dijangka disiapkan secara berperingkat iaitu antara 2024 dan 2026 susulan prospek sektor pembinaan Malaysia yang menjanjikan selain dijangka berkembang sebanyak 9.4 peratus pada 2025, kata See.

Baki unit kediaman dijadualkan siap dalam tempoh 15 bulan dari tarikh bermulanya kerja pemasangan cerucuk.

-- BERNAMA