BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

EPIC, Qaswa Teroka Kerjasama Dalam Industri Maritim Dan O&G Brunei

Oleh Danni Haizal Danial Donald

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, memeterai surat hasrat (LOI) dengan Qaswa Holdings Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei Darussalam, sekali gus membuka laluan kerjasama strategik dalam Kluster Maritim Brunei.

Usaha itu khususnya melibatkan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan marin bersepadu di negara berkenaan.

Ketua Pegawai Esekutif Kumpulan EPIC Muhtar Suhaili berkata kerjasama yang dimeterai hari ini berpotensi mengorak lembaran baharu bagi kumpulan dalam memperluas jejak antarabangsa serta kepakaran syarikat.

“Kami teruja untuk meneroka usaha yang memberi impak, tidak hanya sejajar dengan strategi pertumbuhan perniagaan tetapi dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keupayaan maritim di Malaysia dan Brunei,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian LOI itu di Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei di sini.

Muhtar berkata kerjasama itu akan turut mengukuhkan lagi kedudukan EPIC dalam industri minyak dan gas (O&G) selain memacu inovasi perkhidmatan penyahtauliahan dan marin.

Dalam pada itu, EPIC yang juga penyedia penyelesaian minyak dan gas berkata LOI itu meletakkannya di landasan bagi potensi perolehan pegangan saham Qaswa dan sokongan dalam pengoperasian limbungan penyelenggaraan marin serta limbungan penyahtauliahan pertama Brunei.

Limbungan bersepadu di kawasan seluas 27 ekar (10.9 hektar) di Pulau Muara Besar itu dibangunkan oleh konsortium yang merangkumi Qaswa sebagai rakan tempatan utama, Dana Modal Pembangunan Strategik Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta dua syarikat asing sebagai rakan teknikal utama.

“Kemudahan itu dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 2026 dan bakal menjadi pusat perkhidmatan marin lestari serantau dan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) marin serta pemulihan penyahtauliahan,” kata EPIC.

Pemeteraian surat hasrat itu dilakukan oleh Muhtar bagi pihak EPIC manakala Qaswa diwakili oleh Pengarahnya Muhammad Luqman Hakeem dan Pengurus Besar Hafriz Fayadh Musa. 

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Datuk Seri Dr Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan.

-- BERNAMA