BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Malaysia, Ukraine Bincang Sektor-sektor Utama Dalam Mesyuarat Pertama JTC

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Ukraine membuka lembaran baharu dalam hubungan perdagangan dua hala apabila membincangkan sektor-sektor utama seperti pertanian, aeroangkasa, minyak sawit mampan, peranti perubatan dan pelancongan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) Malaysia-Ukraine hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Ekonomi dan Wakil Perdagangan Ukraine Taras Kachka, membentuk asas kukuh untuk mengembangkan perkongsian ekonomi yang berlatarbelakangkan cabaran geopolitik.

Liew dalam satu kenyataan hari ini berkata perkongsian antara Malaysia dan Ukraine akan memperkukuh hubungan dua hala serta membolehkan kedua-dua negara memanfaatkan peluang-peluang ekonomi yang semakin meningkat di ASEAN.

“Walaupun Ukraine menghadapi krisis eksistensi daripada perang, pengukuhan kerjasama ekonomi yang bermakna kekal menjadi tumpuan utama antara Ukraine dan Malaysia.

"Memandangkan ketegangan geopolitik yang sedia ada, mengeratkan hubungan kedua-dua negara membantu meningkatkan daya tahan rantaian bekalan kami," katanya.

Kachka yang sedang dalam lawatan kerja ke Malaysia dari 31 Okt hingga 2 Nov, menunjukkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan ekonomi, sambil menambah kekuatan Ukraine dalam pertanian dan teknologi angkasa mampu melengkapkan keperluan dan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang dalam sektor-sektor berkenaan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata mesyuarat JTC dijangka membuka jalan kepada kerjasama ekonomi dan perdagangan yang lebih besar antara kedua-dua negara, meningkatkan perkongsian di peringkat kerajaan ke kerajaan dan perniagaan ke perniagaan untuk kelebihan bersama Malaysia dan Ukraine.

Ia berkata perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ukraine telah menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara hingga mencecah RM640.33 juta dari Januari hingga September 2024, meningkat 151.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Pertumbuhan yang menggalakkan ini menyerlahkan daya tahan dan kebolehsuaian kedua-dua negara dalam merebut peluang-peluang baharu untuk kemajuan ekonomi,” tambahnya.

-- BERNAMA