BERITA TERKINI   Cadangan caruman mandatori KWSP bagi pekerja asing, masing-masing dua peratus untuk pekerja, majikan - Steven Sim | SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | 

Rangkaian 5G Kedua Malaysia Dilaksana Oleh U Mobile Sdn Bhd

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Rangkaian 5G Kedua Malaysia akan dilaksanakan oleh U Mobile Sdn Bhd, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan pihaknya telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang akan melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.

Menurut MCMC, proses terperinci itu dilaksanakan demi memastikan potensi sebenar teknologi 5G memberi manfaat kepada rakyat, industri dan negara.

“Proses pemilihan ini melibatkan perbincangan mendalam yang merangkumi aspek teknikal dan komersial bagi memastikan setiap faktor dapat dipertimbangkan agar pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia berjalan lancar dan memberi impak positif kepada semua.

“Sehubungan dengan itu, Rangkaian 5G Kedua Malaysia akan dilaksanakan oleh U Mobile Sdn Bhd,” menurut kenyataan itu.

MCMC bagaimanapun memaklumkan pihak U Mobile Sdn Bhd, tertakluk kepada kelulusan MCMC adalah dibenarkan untuk bekerjasama dengan MNO lain bagi memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.

MCMC akan terus memantau kemajuan pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan peraturan seperti yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

-- BERNAMA