BERITA TERKINI   Pada 6 petang, ringgit hampir mendatar berbanding dolar AS kepada 4.0275/0320 daripada 4.0245/0320 semasa ditutup pada Isnin | Majlis Tindakan Ekonomi Negara teliti pelbagaikan sumber bahan api, perkukuh kerjasama dagang dan jamin input pengeluaran - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global: Special Access Pathway dilaksanakan, pastikan akses keperluan kesihatan kritikal - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global turut menjejaskan bekalan ubat dan peranti perubatan - Akmal Nasrullah | FELDA dan FGV Holdings perkenal B100, biodiesel berasaskan 100 peratus minyak sawit yang berpotensi jadi sumber tenaga alternatif - Pengerusi FELDA | 

Niaga Hadapan MSM Jangka Pengambilan Untung Minggu Depan Susulan Pengukuhan

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka menyaksikan pengambilan untung pada minggu depan berikutan pengukuhannya selepas didorong oleh pembelian agresif daripada dana lindung nilai, kata peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh.

Teh menjelaskan dana lindung nilai telah melabur sekitar US$20 bilion (RM87.5 bilion) dalam produk pertanian merangkumi niaga hadapan MSM, sejak tujuh minggu lepas.

"Minggu depan, pasaran dijangka menyaksikan aktiviti pengambilan untung, MSM mungkin didagangkan dalam lingkungan RM4,200 hingga RM4,300.

"Kita boleh menamakan bulan ini sebagai 'ledakan minyak sawit'," katanya.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng turut berkongsi sentimen yang sama dengan Teh, sambil menambah harga pasaran dijangka melonjak pada minggu depan, dipacu oleh harga minyak mentah dan kacang soya .

“Kami meramalkan harga pada minggu depan diniagakan antara RM4,700 dan RM4,950 setan,” katanya.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 menokok RM344 kepada RM4,976 satu tan, Disember 2024 naik RM330 kepada RM4,914 satu tan dan Januari 2025 bertambah sebanyak RM332 kepada RM4,868 satu tan.

Sementara itu, Februari 2025 mencatatkan margin sebanyak RM327 kepada RM4,808 satu tan, Mac 2025 adalah RM303 lebih baik kepada RM4,726 satu tan dan kontrak April 2025 menokok RM280 kepada RM4,637 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 316,578 lot daripada 428,573 lot, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 246,507 kontrak berbanding 252,233 kontrak yang disaksikan dalam minggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan melonjak RM300 kepada RM4,980 pada Jumaat daripada RM4,680 seminggu sebelum ini.

-- BERNAMA