BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

U Mobile Akan Kurangkan Pegangan Saham Majoriti Asing Kepada 20 Peratus

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd, yang terpilih melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia akan mengurangkan pegangan saham majoriti asingnya kepada 20 peratus bagi memastikan penguasaan Malaysia lebih besar dan menyeru penyertaan daripada pelabur tempatan.

Penyedia telekomunikasi itu dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu sejajar dengan komitmennya terhadap agenda negara.

Menurutnya menerusi rekod prestasi terbukti menjangkau lebih 17 tahun, U Mobile dalam kedudukan baik bagi pelancaran rangkaian 5G kedua.

“Dedikasi kami kepada perkhidmatan yang mudah diakses dan inovatif telah memberikan kami banyak anugerah termasuk dinobatkan sebagai ‘Syarikat Perkhidmatan Mudah Alih Terbaik Malaysia’ oleh Frost & Sullivan sebanyak enam kali.

“U Mobile turut diiktiraf berikutan menawarkan kelajuan Internet keseluruhan yang terpantas di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Pada masa ini, pelanggan U Mobile menggunakan kapasiti 5G terbesar di negara ini berbanding penyedia perkhidmatan lain.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan pemilihan U Mobile selepas melaksanakan penilaian yang terperinci dalam aspek teknikal dan komersial.

U Mobile berkata pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk MCMC dan syarikat telekomunikasi lain seperti CelcomDigi dan Telekom Malaysia untuk menyampaikan perkhidmatan termaju 5G bertaraf dunia kepada pengguna.

Syarikat itu telah terlibat secara proaktif dengan penyedia teknologi global terkemuka termasuk Huawei selain akan turut bekerjasama dengan Digital Nasional Bhd untuk memastikan pengguna kekal menikmati pengalaman 5G terbaik.

-- BERNAMA