BERITA TERKINI   Isu AS akan 'ambil alih' Gaza: Pendirian Malaysia terhadap Gaza kekal, selari dengan negara Islam lain - PM Anwar | Ekonomi Malaysia dijangka kekalkan momentum kukuhnya sehingga 2025, didorong oleh rangka kerja Ekonomi MADANI, kestabilan politik dan aliran perubahan global - Pengarah Urusan Khazanah  | Khazanah isytihar dividen RM1 bilion kepada kerajaan bagi 2024, menyumbang kepada jumlah kumulatif RM19.1 bilion yang dibayar sejak 2004 | Khazanah rekod keuntungan RM5.1 bilion daripada operasi pada 2024 dan mengekalkan liputan nilai aset boleh direalisasi  kukuh sebanyak 3.2 kali ganda - Pengarah Urusan | Prestasi kukuh pada 2024 dipacu oleh ekuiti awam di Malaysia dan pasaran maju, disokong oleh pertumbuhah padu ekonomi Malaysia -- Pengarah Urusan Khazanah  | 

CelcomDigi Komited Dalam Transformasi Negara Ke Arah Masyarakat Digital Dikuasakan AI 5G

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- CelcomDigi kekal komited terhadap kemampanan industri dan memacu transformasi negara menuju masyarakat digital yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) 5G.

Dalam kenyataan hari ini, katanya ia akan terus memfokuskan kepada pengintegrasian gabungan untuk merealisasikan sasaran penjimatan dan sinergi serta kekal menawarkan pengalaman terbaik kepada pelanggan.

“Pengintegrasian rangkaian kami kini lengkap pada 68 peratus, dan 65 peratus pelanggan kami meraih manfaat daripada pengalaman yang lebih baik dalam rangkaian pintar CelcomDigi baharu, lebih awal berbanding jadual,” kata pengendali rangkaian mudah alih itu.

Sementara itu, CelcomDigi berkata pengumuman kerajaan mengenai pemilihan pengendali rangkaian mudah alih yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia tidak akan memberi kesan kepada pelanggan 5G CelcomDigi.

“Kami akan terus memberikan pilihan dan nilai terbaik dalam perkhidmatan kesalinghubungan dan pengalaman terbaik kepada pelanggan iaitu pengguna dan perusahaan di Malaysia menerusi rangkaian, produk dan perkhidmatan serta platform digital kami,” katanya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini mengumumkan pemilihan U Mobile Sdn Bhd untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara selepas menjalankan penilaian teknikal dan komersial yang terperinci.

CelcomDigi berkata menjadi keutamaannya adalah memastikan pelanggan mempunyai akses mampu milik terhadap rangkaian 5G yang berdaya saing, teguh dan cekap.

"Kami akan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam mempertimbangkan beberapa pilihan berdaya maju untuk memanfaatkan pelanggan dan pemegang saham," katanya.

-- BERNAMA