BERITA TERKINI   Sebanyak RM300 juta diperuntukkan di bawah Insentif Penggambaran Filem di Malaysia untuk tempoh lima tahun bagi tarik produksi antarabangsa, tingkat peluang pekerjaan penggiat tempatan - Fahmi | FINAS diminta teliti aspek perundangan dan hak cipta bagi lindungi hak seniman, penggiat filem dalam era AI - Fahmi | Kerajaan akan tawarkan proses mediasi percuma bagi kes pertikaian perundangan babit semua jenis kontrak di bawah RM250,000 - Azalina | 

AS Sekat 6 Syarikat Malaysia Atas Dakwaan Kaitan Dengan Sektor Pembuatan Rusia

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Sebanyak enam syarikat yang berpangkalan di Malaysia adalah antara hampir 400 entiti dan individu yang dikenakan sekatan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) kerana beroperasi atau pernah beroperasi dalam sektor pembuatan Rusia.

Syarikat yang disenaraikan itu ialah Zeolite Mansford Sdn Bhd (Zeolite), Centrina United Sdn Bhd (Centrina), Gyntec Carbon Sdn Bhd (Gyntec), Moralability Industry Sdn Bhd (Moralability) dan Melix Global Sdn Bhd (Melix Global).

Dalam satu kenyataan pada 30 Oktober, Pejabat Jurucakap itu memaklumkan bahawa hampir 400 entiti dan individu telah dikenakan sekatan kerana membolehkan Rusia "melaksanakan perang haramnya".

Kenyataan itu menyatakan bahawa Jabatan Negara sedang mengenakan sekatan ke atas lebih 120 individu dan entiti.

“Penyenaraian Jabatan Negara bertujuan untuk mengganggu usaha mengelak sekatan dan menyasarkan entiti di pelbagai negara ketiga, termasuk Republik Rakyat China (PRC), India, Malaysia, Thailand, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu.

“Semua sasaran disenaraikan mengikut Perintah Eksekutif (E.O.) 14024 yang membenarkan sekatan terhadap aktiviti asing berbahaya tertentu oleh Kerajaan Persekutuan Rusia,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Jurucakap itu turut memaklumkan bahawa sekatan itu menyasarkan pengeluar, pengeksport dan pengimport barangan yang penting kepada asas industri ketenteraan Rusia.

“Barangan itu termasuk mikroelektronik dan item kawalan berangka komputer (CNC) dalam Senarai Keutamaan Tinggi Biasa (CHPL), seperti yang dikenal pasti oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS) Jabatan Perdagangan AS bersama Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), dan Jepun,” tambahnya.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan terus menggunakan semua alat yang ada untuk mengganggu sokongan terhadap asas industri ketenteraan Rusia dan menyekat keupayaan Kremlin untuk mengeksploitasi sistem kewangan antarabangsa serta menjana pendapatan bagi meneruskan perangnya terhadap Ukraine.

“Kami terus berdiri dalam solidariti dengan Ukraine untuk mempertahankan tanah airnya daripada pencerobohan Rusia,” tambahnya.

--BERNAMA