BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Kerajaan Utamakan Projek Berpaksikan Rakyat, Keperluan Mendesak Di Kelantan - Rafizi

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menilai dan memberi keutamaan kepada projek-projek yang menjurus kepada keperluan mendesak rakyat di Kelantan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Sehubungan itu, beliau berkata bagi perancangan infrastruktur di negeri berkenaan, kerajaan mengutamakan projek kritikal yang memberi impak langsung atau berpaksikan rakyat.

“Pemilihan projek akan menumpukan usaha memperkasa ketersambungan infrastruktur pengangkutan dan penyediaan projek infrastruktur yang berimpak tinggi kepada sosial dan pertumbuhan ekonomi,” katanya di dalam Jawapan Lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN - Kuala Krai) mengenai penilaian Kerajaan Persekutuan dalam menentukan keutamaan projek-projek infrastruktur di Kelantan.

Ini termasuk kriteria yang digunakan dalam memilih projek yang perlu diberi perhatian segera, sesuai dengan dasar pembangunan berteraskan keperluan rakyat.

Menjelaskan selanjutnya, Rafizi berkata keutamaan terhadap projek-projek itu akan turut meningkatkan hubungan antara komuniti dan mewujudkan peluang pekerjaan yang luas.

Pada masa sama, ini mendorong pelaburan, merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi di sepanjang jajaran seterusnya dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kemakmuran rakyat, kata beliau.

-- BERNAMA