BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Dipengaruhi Penurunan Pasaran Serantau

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Isnin, berikutan aliran menurun di pasaran hadapan getah serantau dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, tindak balas negatif pasaran juga didorong amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berhubung peningkatan risiko ke atas ekonomi Asia, data Amerika Syarikat (AS) yang lemah dan konflik berterusan di Asia Barat.

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah dan gangguan bekalan berikutan cuaca buruk di Thailand,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, IMF memberi amaran peningkatan risiko ke atas ekonomi Asia, susulan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak, masalah hartanah di China dan potensi berlakunya pergolakan pasaran.

“Aktiviti pembuatan di AS dilaporkan merosot ke paras terendah dalam tempoh 15 bulan pada Oktober dan kilang berdepan kenaikan harga input,” katanya.

Menurut Institute for Supply Management (ISM), Indeks Pengurus Pembelian (PMI) AS menyusut kepada 46.5 pada bulan lalu, iaitu paras terendah sejak Julai 2023 berbanding 47.2 pada September.

Peniaga itu berkata harga minyak dilaporkan melonjak hari ini, selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+), menangguhkan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran pada Disember sekurang-kurangnya selama sebulan berikutan tekanan harga akibat daripada permintaan yang lemah.

“OPEC dan sekutunya termasuk Russia berkata pada Ahad mereka akan menangguhkan rancangan meningkatkan pengeluaran sebanyak 180,000 tong sehari sekurang-kurangnya selama sebulan,” katanya lagi.

Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent mengukuh sebanyak 2.37 peratus kepada US$74.83 setong.

Sementara itu, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM) harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) menyusut sebanyak lapan sen kepada 854.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun enam sen kepada 720.5 sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 861.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 715.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA