BERITA TERKINI   Gangguan elektrik KLIA2: Pengurusan MAHB dan gateway@klia2 diarah siap laporan dalam masa 24 jam - Loke | RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | 

ECERDC Wujud Pangkalan Data Ukur Pencapaian Sosioekonomi Kumpulan Sasar - Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan melaksanakan semua teguran dan syor Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 antaranya mewujudkan pangkalan data bagi mengukur pencapaian sosioekonomi kumpulan sasar,  kata Kementerian Ekonomi.

Kementerian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen berkata ECERDC juga akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam merangka strategi dan mempergiatkan lagi aktiviti promosi pelaburan di taman perindustrian di ECER.  

“Selain itu, ECERDC juga akan memberikan tumpuan untuk memudah cara dan merealisasikan pelaburan dengan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk mempromosi taman perindustrian di ECER,” katanya.

Kementerian menjawab soalan yang dikemukakan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung tindakan yang sedang dan akan dilakukan bagi menangani isu kelemahan pengurusan projek dan program di bawah ECER sepertimana dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2/2024. 

Sementara itu, kementerian turut menjawab pertanyaan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) mengenai peruntukan yang telah dilaksanakan untuk 2024 dalam menaik taraf ekonomi rakyat Kota Marudu dan peruntukan bagi 2025 yang dicadangkan untuk Kota Marudu.

Menurutnya sebanyak RM6.3 bilion telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek pembangunan di Sabah bagi 2024, katanya.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM151.2 juta telah disediakan bagi membiayai pelaksanaan 40 projek pembangunan di Kota Marudu,” katanya.

Menurut kementerian, berdasarkan Belanjawan 2025, sebanyak RM79.7 juta telah diperuntukkan kepada Kota Marudu berbanding jumlah keseluruhan peruntukan RM6.7 bilion di Sabah dalam meningkatkan aktiviti sosioekonomi bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

-- BERNAMA