BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Cebu untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 | Dasar sosial hanya bernilai apabila ia mampu mengubah kehidupan rakyat menjadi lebih baik - TPM Ahmad Zahid | Dasar sosial bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi libatkan penjagaan, sokongan keluarga dan maruah hidup - TPM Ahmad Zahid | Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 garis 102 inisiatif dengan empat tumpuan iaitu pencegahan, pemerkasaan, promosi & perlindungan - TPM Ahmad Zahid | Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 jadi jambatan antara dasar dirangka dan kehidupan rakyat - TPM Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin, namun terus disokong oleh ketidaktentuan politik di Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah, kata seorang penganalisis.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata logam berharga itu bagaimanapun menghadapi tekanan menurun di tengah-tengah jangkaan yang semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin menggunakan pendekatan penurunan kadar yang kurang agresif, dipengaruhi oleh data ekonomi yang kukuh.

“Pelabur semakin bimbang kemungkinan kemenangan Republikan dalam pilihan raya presiden akan datang, ia bukan sahaja boleh menyebabkan hutang AS meningkat tetapi juga menjerumuskan ekonomi global ke dalam huru-hara, berikutan perang perdagangan yang berpotensi memburukkan keadaan.

"Justeru, apabila ketidakpastian meningkat, daya tarikan emas sebagai aset selamat turut melonjak," katanya kepada Bernama.

Kontrak bulan semerta November 2024 susut kepada US$2,752.40 setiap auns troy daripada US$2,777.20 setiap auns troy pada Jumaat, dan Disember 2024 merosot kepada US$2,764.20 setiap auns troy daripada US$2,777.20 setiap auns troy sebelumnya.

Sementara itu, kontrak Januari 2025, Februari 2025 dan April 2025 semuanya ditutup rendah pada US$2,764.20 setiap auns troy berbanding US$2,777.20 setiap auns troy.

Jumlah dagangan meningkat kepada enam lot daripada dua lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 13 kontrak daripada lapan kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 1 November, harga emas fizikal berada pada US$2,744.30 setiap auns troy.

-- BERNAMA