BERITA TERKINI   Pelantikan hakim mahkamah atasan perlu ditangani dengan cermat, elak dipolitikkan - Istana Negara | Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | 

Ringgit Terus Mengukuh Pada Sesi Awal Susulan Kelemahan Dolar AS

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Ringgit mengekalkan momentum pengukuhannya apabila dibuka meningkat pada Selasa ketika Indeks Dolar Amerika Syarikat (DXY) lemah susulan pengumuman data gaji bukan perladangan negara maju itu, Jumaat lepas.

Pada 8 pagi ini, ringgit meningkat ke paras 4.3700/3795 berbanding dolar AS daripada 4.3715/3765 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY susut sebanyak 0.38 peratus kepada 103.885 mata.

Beliau berkata hasil Perbendaharaan AS juga susut, mencerminkan jangkaan pengurangan kadar faedah utama negara maju itu pada minggu ini.

“Namun, sentimen pasaran kekal berhati-hati memandangkan persaingan sengit pilihan raya presiden AS yang terus menjadi faktor utama mempengaruhi keyakinan terhadap pasaran kewangan.

“Ringgit misalnya meraih pengukuhan semalam dengan kadar pertukaran USD/MYR bergerak kepada RM4.3740 daripada RM4.3807 pada minggu lepas. Berikutan itu, ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil sementara menunggu keputusan pemilihan presiden AS pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit turut mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ini termasuk meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6609/6732 daripada 5.6707/6772, naik berbanding yen Jepun kepada 2.8697/8761 daripada 2.8775/8810 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7519/7623 daripada 4.7636/7691.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit meningkat kepada 277.4/278.1 daripada 277.5/277.9, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3111/3186 daripada 3.3185/3226 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.9313/12.9728 daripada 12.9664/9882. 

Namun ringgit hampir mendatar berbanding peso Filipina pada 7.49/7.51 daripada 7.49/7.50.

-- BERNAMA