BERITA TERKINI   Ujian asas fardu ain sebagai syarat wajib kemasukan ke Giat MARA akan diperluaskan ke institusi MARA yang lain - TPM Zahid | Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | 

Malaysia Perkukuh Kerjasama Dengan EU Bagi Pembangunan Bandar Pintar

Daripada Nurul Jannah Kamaruddin

BARCELONA, 6 Nov (Bernama) -- Menteri Digital Gobind Singh Deo mengadakan sesi libat urus dengan wakil daripada Kesatuan Eropah (EU) untuk berkongsi inisiatif mengenai perjalanan Malaysia dalam membangunkan bandar digital dan pintar yang menambah baik kehidupan rakyat.

Semasa perbincangan meja bulat sesi pagi peringkat C di Kongres Ekspo Dunia Bandar Pintar di sini hari ini, beliau menekankan bahawa perhimpunan itu mengukuhkan perkongsian antara Malaysia dan EU mengenai pembangunan bandar pintar.

Beliau turut memaklumkan pencapaian dan misi Malaysia terutama dalam bidang inovasi digital dan pembangunan bandar digital.

Gobind berkata melalui pelbagai inisiatif kerajaan, sasaran untuk mencapai 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dapat dicapai.

Beliau berkata ini dapat dilihat dalam komitmen Malaysia untuk mengembangkan sektor digital, yang menawarkan peluang luas untuk perniagaan berkembang pesat di Malaysia.

Gobind berkata Malaysia, yang berdiri di barisan hadapan dari segi transformasi digital dalam ASEAN serta destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara turut menawarkan peluang baik dalam pelaburan dan pertumbuhan.

“Sehubungan itu, saya menyambut baik perniagaan bandar digital dari EU untuk bekerjasama dengan agensi di bawah Kementerian Digital," katanya ketika berkongsi mengenai Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kepada peserta sesi meja bulat itu.

Gobind turut menekankan mengenai pembaharuan dan dasar Malaysia untuk memacu inovasi, pembangunan dan pertumbuhan.

"Pada masa ini kami mempunyai Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang dibina berasaskan apa yang telah kami miliki. Dalam sektor tenaga, kami mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Inilah kaedah bagaimana kami akan mendorong ekonomi ke hadapan,” katanya.

Gobind berkata kerajaan juga sedang giat mewujudkan persekitaran mesra pelabur untuk memudahkan pengembangan pelabur antaranya menerusi infrastruktur kesalinghubungan 5G yang diteraju oleh Digital Nasional Bhd.

Sementara itu, Ahli Parlimen Eropah Marcos Ros Sempere dan Pengerusi Dewan Perniagaan Sepanyol Jordi Pol Ramon adalah antara wakil EU yang hadir pada sesi meja bulat berkenaan.

Dalam kalangan perniagaan EU tempatan, turut hadir adalah Fundacion Metropoli, IDOM, Indra (MINSATI), June Ventures, Presight AI, Mingothings International dan SKG Tecnologia.

-- BERNAMA