BERITA TERKINI   Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | 

Kerjasama Antara Syarikat Percetakan Malaysia Dan Turkiye Perkukuhkan Hubungan Bilateral - TPM Fadillah

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kerjasama antara syarikat percetakan Malaysia dan Turkiye bukan sahaja mengukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara, pada masa sama memperkukuhkan perkongsian kepakaran dan teknologi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

“Hubungan antara Malaysia-Turkiye memang akrab terutama antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

“Ini adalah hubungan antara dua syarikat, Turkiye akan membawa teknologi terkini mereka ke Malaysia. Saya lihat ini sebagai satu langkah positif ke arah ke arah transformasi negara digitalisasi,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ultimate Print Sdn Bhd dan the Turkish State Mint, Darphane. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Print Azizi Fickry.

Sementara itu, Azizi berkata salah satu bidang tumpuan utama kerjasama itu ialah meneroka potensi dalam percetakan keselamatan termasuk pengeluaran wang kertas, setem cukai, e-visa dan dokumen keselamatan tinggi yang lain.

“Kami beralih kepada percetakan keselamatan dan melakukannya selama bertahun-tahun dalam percetakan dokumen keselamatan untuk kerajaan terutamanya untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Seterusnya, kami merancang untuk terlibat dalam pencetakan dokumen keselamatan bernilai tinggi seperti ID kebangsaan dan juga cetakan pasport,” katanya.

Mengenai jumlah pelaburan untuk menubuhkan kilang percetakan, Azizi berkata ia bergantung kepada ciri keselamatan yang dipilih kerajaan, bagaimanapun pelaburan itu dianggarkan antara RM60 juta dan RM80 juta.

Terdahulu dalam ucapannya, Azizi berkata perkongsian itu menandakan permulaan usaha yang bukan sahaja menghimpunkan dua peneraju industri tetapi juga mengukuhkan negara dalam berkongsi visi dan tujuan.

“Darphane, peneraju dalam percetakan dan pencetakan keselamatan telah memilih Ultimate Print dan Malaysia sebagai pangkalan mereka untuk pengembangan ke pasaran Asia. Keputusan ini mencerminkan daya tarikan negara kita sebagai hab peluang yang stabil,” katanya.

Azizi berkata kedua-dua pihak yakin dengan potensi besar sektor percetakan keselamatan dan ia bertujuan mewujudkan penanda aras baharu dalam kualiti, kecekapan dan kemajuan teknologi.

“Dengan menggabungkan kepakaran Darphane yang terkenal di dunia dengan pengetahuan serantau Ultimate Print, kami akan berkembang melangkaui pasaran Malaysia, mewujudkan kehadiran yang kukuh di Asia,” katanya.

-- BERNAMA