BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

JS-SEZ Dijangka Ditandatangani 9 Disember Depan -Onn Hafiz

KULAI, 7 Nov (Bernama) -- Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di antara Malaysia dengan Singapura dijangka ditandatangani pada 9 Disember depan, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata perjanjian itu akan ditandatangani pada sesi pemukiman Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadual berlangsung pada 8 dan 9 Dis, 2024. 

"Saya dimaklumkan majlis itu akan diadakan di Putrajaya semasa sesi pemukiman JMCIM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pusat Logistik Serantau Mercedes-Benz Parts Logistics Asia Pacific Sdn Bhd di sini hari ini. 

Turut hadir ialah Ketua Operasi Logistik Mercedes-Benz Parts Global Klaus Ziemsky.

Menurut Onn Hafiz mesyuarat khas JMCIM bagi membincangkan kemajuan JS-SEZ telah diadakan di Johor Bahru hari ini dan ia dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Pembangunan Negara Singapura Desmond Lee.

"Mesyuarat ini berjalan dengan lancar dan ada persefahaman baik di antara kedua-dua negara. Dengan adanya persefahaman ini, kita mengambil peluang untuk bekerjasama demi faedah bersama dua negara, khususnya untuk Johor," katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam ucapannya berkata beliau yakin Johor sedang memasuki era emas ketika ini khususnya dengan kemasukan pelaburan syarikat antarabangsa. 

Menurut beliau, perkara tersebut bukan angan-angan kosong sebaliknya bersandarkan kepada statistik yang ditunjukkan khususnya melibatkan kemasukan pelaburan.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk memudah cara proses membuat pelaburan di Johor menerusi inisiatif 'Kulai Fast Lane' yang akan diperluas dengan nama Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC).

"'Kulai Fast Lane' telah memudahkan kemasukan lebih 38 pelaburan bernilai RM52 bilion. Pelaburan daripada Mercedes-Benz ini satu daripadanya dan ia bernilai RM1.5 bilion. 

"Bermula daripada persetujuan pelaburan sehingga kepada majlis pembukaan pusat logistik ini, ia hanya memakan tempoh 23 bulan berbanding biasa yang memakan waktu lebih lama," katanya.

Beliau berkata keputusan Mercedes-Benz melabur di Johor membuktikan tarikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan strategik dan bernilai tinggi di peringkat global.

-- BERNAMA