BERITA TERKINI   Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | 

Keanggotaan BRICS Tawar Landskap Perdagangan Global Lebih Saksama Kepada Malaysia - Duta Rusia

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- BRICS menawarkan laluan kepada sistem perdagangan global yang lebih adil sekali gus akan memberi manfaat kepada negara yang lebih kecil dan sedang membangun, kata Duta Rusia di Malaysia, Naiyl Latypov.

Beliau yang turut mengalu-alukan minat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan itu berkata BRICS komited untuk menangani orde perdagangan antarabangsa, yang kini dikuasai oleh negara tertentu yang mengekalkan peraturan mereka sendiri.

“Kalangan negara besar yang menguasai perdagangan antarabangsa sentiasa mencari jalan untuk melindungi kepentingan mereka, kadangkala dengan meminggirkan ekonomi yang lebih kecil dan sedang membangun,” katanya di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara RusGrain Union dan Melewar Industrial Group.

Latypov juga menyatakan kesediaan Rusia untuk menyokong keanggotaan Malaysia dalam BRICS, dan keanggotaan itu akan mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan rakan dagang utama dalam BRICS seperti China dan India.

“Kami gembira apabila kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyertai BRICS, dan kami bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan kami di Malaysia mengenai perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui laluan Malaysia untuk mendapatkan keanggotaan penuh mungkin mencabar disebabkan oleh struktur membuat keputusan berasaskan konsensus yang ditetapkan BRICS.

“Perkara (untuk mendapatkan keanggotaan penuh) itu akan menjadi satu proses yang panjang dan sukar, kerana kita perlu menyelaraskan banyak isu,” katanya.

Di sebalik kesukaran itu, penyertaan Malaysia boleh membawa manfaat ekonomi yang besar, katanya.

Duta itu berkata BRICS bukan sebuah perikatan yang “menentang sesuatu atau seseorang” tetapi sebagai sebuah gabungan yang menumpukan kepada pembinaan sebuah “orde antarabangsa yang adil dan saksama,” khususnya dalam ekonomi.

Latypov berkata keanggotaan Malaysia boleh membuka pintu untuk peluang perdagangan dan pelaburan yang diperluas, membolehkan negara ini meraih manfaat daripada sistem perdagangan yang berpaksikan keadilan dan keterangkuman.

“Negara yang lebih kecil dan sedang membangun sering menghadapi kesukaran ekonomi yang lebih besar semasa krisis global, berbeza dengan ekonomi yang lebih besar yang boleh menggunakan langkahnya untuk melindungi kepentingan mereka.

“BRICS menyediakan peluang kepada negara seperti Malaysia untuk menyertai persekitaran perdagangan yang seimbang dan inklusif, menyokong daya tahan ekonomi dalam situasi cabaran global,” katanya.

BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India dan China, telah ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi sedang pesat membangun, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.

Gabungan itu kemudiannya berkembang meliputi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.

Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan BRICS pada 24 Okt, 2024.

-- BERNAMA