BERITA TERKINI   Dua jemaah haji Malaysia yang dirawat di hospital di Madinah dan Mekah berada dalam keadaan stabil - TH | Sultan Selangor perkenan temasya SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah - KBS | Krisis bekalan global: Malaysia perlu beralih kepada ekonomi produktiviti tinggi, perkukuh rantaian bekalan negara - TPM Ahmad Zahid | Kerajaan komited pastikan Malaysia kekal sebagai negara dengan ekosistem perniagaan yang efisien, telus dan responsif - TPM Ahmad Zahid | Ekonomi negara masih kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global, gangguan rantaian bekalan - TPM Ahmad Zahid | 

Parlimen Sasar Defisit Fiskal Lebih Rendah Kepada Tiga Peratus Bagi Jangka Masa Sederhana - Lim

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan defisit fiskal lebih rendah kepada tiga peratus bagi jangka masa sederhana, mengikut kerangka Ekonomi MADANI serta Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata pada 2024, defisit fiskal berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkurang kepada 4.3 peratus daripada 5.0 peratus yang dicatatkan pada 2023.

Kedudukan defisit fiskal diunjurkan terus berkurang kepada 3.8 peratus pada 2025, katanya.

Beliau berkata dalam jangka masa sederhana, kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana bagi meningkatkan mobilisasi hasil serta meneruskan penyasaran subsidi secara berperingkat untuk mengoptimumkan perbelanjaan.

“Kerajaan juga sedang melaksanakan langkah pembaharuan institusi dan tata kelola termasuk penambahbaikan mekanisme kerjasama awam-swasta menerusi Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai perancangan kerajaan untuk memperkenalkan lebih banyak dasar mengenai reformasi fiskal bertujuan mengukuhkan kewangan negara serta menguatkan ekonomi dalam negara.

Lim berkata kerajaan juga melaksanakan penggubalan akta baharu untuk menambah baik perolehan kerajaan selain memperkukuh tadbir urus syarikat milik kerajaan yang akan meningkatkan kredibiliti dan keberkesanan pengurusan kewangan awam.

Mengenai ringgit, beliau berkata kerajaan akan memastikan ringgit didagangkan dalam keadaan teratur.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus bersedia untuk membendung pergerakan ringgit yang dianggap berlebihan dalam pasaran pertukaran asing dan mengambil langkah proaktif menggalakkan penggunaan ringgit bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan antarabangsa, katanya.

Beliau berkata justeru, kerajaan dan BNM meneroka peluang kerjasama penyelesaian mata wang tempatan dengan negara strategik seperti China, Thailand dan Indonesia serta negara ASEAN lain yang mempunyai nilai dagangan dua hala yang tinggi.

“Memandangkan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, kerajaan akan terus menerajui usaha untuk memperluas penggunaan mata wang tempatan serantau dengan negara ASEAN yang lain,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai tindakan kerajaan memperkenalkan pelbagai cukai baharu, kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan jangkaan kenaikan harga barang, Lim berkata langkah itu memastikan pembangunan diteruskan secara mampan dan memperkukuh kedudukan fiskal negara.

Beliau berkata kerajaan mengakui cukai dan harga terutama dalam sektor penting seperti logistik dan bahan api boleh memberi kesan kepada harga barangan.

“Bagi tempoh akan datang, kerajaan menjangkakan harga barang dan kos sara hidup kekal terkawal. Bagaimanapun, kita tidak menafikan kemungkinan peningkatan kecil disebabkan faktor luaran seperti harga komoditi global dan isu rantaian bekalan,” katanya.

-- BERNAMA