BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Kerajaan Perkukuh Hubungan Dengan Negara Maju Untuk Tingkat Kolaborasi Teknologi

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang memperkukuh hubungan dengan negara-negara maju serta syarikat multinasional daripada industri semikonduktor dalam usaha meningkatkan kolaborasi teknologi, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian itu berkata melalui pendekatan ini, kerajaan berharap dapat meningkatkan pindahan teknologi dan pengetahuan, memperoleh kepakaran dalam pengeluaran cip berteknologi tinggi serta menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat multinasional yang ingin memanfaatkan potensi pasaran dan infrastruktur negara.

MITI berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini, menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai status terkini dan perincian Strategi Semikonduktor Nasional dan langkah sokongan untuk meningkatkan potensi industri semikonduktor. 

“Sehingga suku ketiga 2024, beberapa pencapaian penting telah dicapai dalam industri semikonduktor negara antaranya seramai 500 jurutera dan 557 pekerja teknikal telah dilatih bagi memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pengeluaran semikonduktor manakala seramai 4,673 individu telah diambil bekerja.

“Dari segi pelaburan, Kerajaan telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM34.6 bilion setakat suku ketiga 2024, yang mana RM0.97 bilion adalah daripada pelaburan domestik manakala RM 34 bilion pula merupakan pelaburan asing dan sebanyak tiga syarikat reka bentuk IC tempatan telah ditubuhkan dalam tempoh tersebut,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, MITI juga memaklumkan kadar jumlah jualan tahunan bagi kenderaan jenis berkuasa elektrik (xEV) merangkumi Hybrid, Plug-In Hybrid, Battery Electric Vehicle (BEV) dan Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) yang dicapai setakat September 2024 adalah sebanyak 5.11 peratus, manakala bagi keseluruhan 2023, kadarnya 4.12 peratus.

Menurutnya, jumlah penggunaan kenderaan baharu jenis penumpang dan perdagangan BEV lebih tinggi pada 2024 dan 2023 iaitu masing-masing pada 15,876 unit dan 13,513 unit, berbanding 3,146 unit pada 2020.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha bersama kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan bersama pihak industri untuk membantu memastikan pembentukan ekosistem industri EV lebih terancang dan teratur.

“Seperti mana sedia maklum, sebelum tahun 2018, penggunaan kenderaan elektrik (EV) adalah rendah dan belum berkembang luas di Malaysia dan di rantau ini,” katanya.

Menurutnya, dari aspek perancangan, kerajaan meletakkan sasaran 10,000 petak pengecasan awam menjelang 2025 meliputi semua negeri termasuk lokasi yang strategik, sama ada berdasarkan permintaan ataupun akses.

MITI berkata demikian sebagai menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berhubung strategi kementerian untuk meningkatkan penggunaan EV di Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA