BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Kementerian Kewangan Teliti Pemohonan Bayar Balik ICPT Kepada Sabah Electricity - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Kewangan dan Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air sedang meneliti serta menimbang permohonan bayaran pelepasan kos tidak berimbang (ICPT) kepada Sabah Electricity Sdn Bhd berjumlah RM162 juta bagi tempoh Jun hingga Disember 2023 .

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kementerian itu juga sedang menimbang pemberian moratorium bayaran balik pinjaman Sabah Electricity kepada kerajaan yang dianggarkan sekitar RM65 juta.

Selaras dengan persetujuan pemindahan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah pada 3 Jan, 2024, beliau berkata kerajaan komited menyediakan subsidi elektrik sebanyak RM3.54 bilion selama tujuh tahun sehingga 2030, pasca penyerahan kuasa kawal selia.

“Sehingga September 2024, kerajaan telah selesai menyalurkan sebanyak RM449.4 juta subsidi elektrik (daripada jumlah peruntukan keseluruhan tahun 2024 sebanyak RM507 juta) berdasarkan tuntutan yang telah disemak dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah kepada Sabah Electricity.

“Baki peruntukan sekitar RM57.6 juta akan disalurkan sebaik tuntutan dikemukakan dan dijangka baki ini akan disalurkan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM700 juta subsidi elektrik bagi 2025 meningkat RM193 juta daripada peruntukan RM507 juta bagi 2024. 

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM34 bilion untuk menampung subsidi dan bantuan tunai bagi 2025.

Katanya, peruntukan tersebut adalah untuk menampung terutamanya subsidi produk petroleum sebanyak RM23 bilion dan bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sejumlah RM10 bilion.

“Walaupun, peruntukan asal tahun 2024 hanya RM35.8 bilion tetapi disebabkan pergerakan harga petroleum dan pelaksanaan penyasaran subsidi yang hanya bermula pada Jun 2024, perbelanjaan sebenar butiran subsidi dan bantuan tunai akan mencecah RM46 bilion.

“Dengan itu, peruntukan tahun 2025 sebanyak RM34 bilion merupakan pengurangan RM12 bilion terutamanya merujuk kepada penjimatan daripada penyasaran subsidi diesel dan petrol,” tambah beliau.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA