BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

MATRADE Komited Sokong Pengembangan Perniagaan SPP Tempatan Ke Rantau Berpotensi

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) terus komited menyokong pengembangan perniagaan syarikat peringkat pertengahan (SPP) tempatan ke rantau lain yang berpotensi termasuk Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin.

Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kerajaan turut meletakkan harapan yang tinggi agar SPP dapat membimbing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global.

Beliau berkata peserta Program Pembangunan SPP (PPSPP) telah mencatatkan jualan tahunan terkumpul sebanyak RM32.92 bilion pada 2023, dengan RM19.15 bilion atau 58 peratus diperolehi daripada lima aktiviti eksport.

“Sebanyak 77 pasaran baharu juga ditembusi termasuk Albania, Togo, Botswana, Moldova, Jamaica dan Venezuela,” katanya ketika berucap pada sesi Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif SPP 2024 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata SPP juga terus mengukuhkan rantaian bekalan domestik melalui jaringan kerjasama melibatkan lebih 10,000 PKS tempatan, meningkat 11 peratus daripada 9,135 PKS pada tahun lepas.

“Sebanyak 74 peratus daripada jumlah ini terlibat dalam sektor pembuatan manakala 26 peratus pula terlibat di dalam sektor perkhidmatan.

“Kejayaan SPP di peringkat global turut mendorong pertumbuhan PKS di bawah jaringan kerjasama perniagaan, serta secara langsung meningkatkan peluang pekerjaan tempatan, pengembangan ekonomi setempat dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Reezal Merican juga berkata Matrade merancang untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif SPP ASEAN pada tahun depan.

“Objektifnya untuk memperkasakan jaringan perniagaan dan kolaborasi antara SPP di rantau ASEAN, memandangkan Malaysia akan mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2025.

“Usaha ini diharapkan dapat menyokong pengembangan SPP Malaysia dalam meluaskan dan mengukuhkan kedudukan di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata meskipun tempoh masih berbaki setahun lagi bagi Rancangan Malaysia ke 12 (RMKe-12), PPSPP telah berjaya membantu 348 syarikat setakat ini sejak dimulakan pada 2014.

“Matrade pasti akan terus memberi sokongan kepada SPP tempatan dalam usaha mengembangkan pasaran global,” katanya.

Beliau berkata SPP juga perlu mengutamakan penerapan agenda kelestarian dan digitalisasi -- faktor penting dalam perdagangan antarabangsa -- dalam pengoperasian masing-masing, untuk mengukuhkan daya saing global masing-masing.

SPP tempatan juga kini dilihat mengutamakan inisiatif penjenamaan untuk meletakkan kedudukan masing-masing secara lebih ketara di pentas antarabangsa, katanya.

“Penjenamaan adalah antara pembeza utama dalam pasaran global yang kompetitif pada hari ini, dan aspek itu penting bagi syarikat Malaysia untuk membina identiti jenama yang kukuh dan tersendiri, selari dengan keperluan pengguna antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA