BERITA TERKINI   Polis buka kertas siasatan susulan laporan palsu kemangkatan Sultan Kelantan - Ketua Polis Kelantan | Kerajaan pertimbang wajibkan label ‘AI generated’ bagi kandungan digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian - Fahmi | Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang tular - Fahmi | Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai dijangka dinaikkan esok atau lusa dengan bantuan TLDM dan APMM - Komander PGU  | Kemalangan helikopter: Lima mangsa termasuk dua di ICU Hospital Sultanah Aminah stabil - Komander PGU | 

KLIMS 2024 Pamer Inovasi Automotif Termaju, Sasar 250,000 Pengunjung

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024) menawarkan peluang kepada orang ramai untuk melihat inovasi terbaharu dalam industri mobiliti dan automotif.

KLIMS 2024 berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 5 hingga 11 Disember 2024, acara itu dijangka menarik 250,000 pengunjung.

Dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, KLIMS 2024 mempamerkan trend utama yang membentuk masa depan industri automotif.

Presiden MAA Mohd Shamsor Mohd Zain berkata KLIMS 2024 berperanan sebagai platform penting bagi industri automotif untuk mempamerkan kemajuan terbaharunya, memberikan maklumat mengenai trend transformatif seperti kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian mobiliti mesra alam.

“Dengan komitmen berterusan kerajaan Malaysia terhadap penyelesaian mobiliti mampan dan inovatif termasuk insentif untuk penggunaan EV dan dasar menyokong teknologi hijau, kami melihat trajektori yang menarik untuk sektor automotif kami,” katanya kepada pemberita pada majlis sidang media mengenai KLIMS 2024, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Richard Teo dan Pengarah Acara Perniagaan Yuhanis Latif.

Sementara itu, MAA dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata edisi ke-10 KLIMS 2024 itu akan mengadakan cabutan bertuah untuk memberi peluang kepada pengunjung memenangi sebuah kereta Toyota Yaris dan Perodua Axia.

“Dengan hampir 70 pempamer mengambil bahagian, pameran tahun ini akan menampilkan kenderaan canggih, penyelesaian mobiliti mesra alam dan teknologi inovatif daripada jenama automotif dan syarikat perkhidmatan terkemuka.

"Dewan pameran di MITEC itu berkeluasan hampir 30,000 meter persegi, menawarkan platform yang luas untuk peminat automotif untuk melihat kenderaan inovatif," kata MAA.

MAA berkata KLIMS 2024 disokong oleh badan kerajaan dan badan industri utama termasuk Institut Robotik dan IoT Automotif Malaysia, Persekutuan Automotif Malaysia, Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia, dan Persatuan Pengilang Komponen Automotif Malaysia.

Disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), KLIMS 2024 mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama untuk mempamerkan sektor automotif Malaysia ke pasaran antarabangsa, meningkatkan lagi reputasi negara sebagai hab bagi inovasi dan kemampanan automotif.

KLIMS 2024 merupakan acara industri automotif terbesar di Malaysia.

Pertunjukan selama tujuh hari itu akan menampilkan rangkaian mesin permotoran termasuk kenderaan penumpang, kenderaan komersial, motosikal, aksesori dan banyak lagi termasuk kereta konsep, kereta berprestasi, pelancaran model baharu dan produk serta aktiviti mobiliti menarik yang lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual menghadiri majlis perasmian pada 4 Disember, 2024 sebagai tetamu kehormat.

-- BERNAMA