BERITA TERKINI   Tiada unsur buli babitkan kes pelajar tingkatan empat yang meninggal dunia di sebuah sekolah di Seremban - KP Pendidikan | Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | 

Keuntungan Bersih Keyfield Naik Kepada RM81.1 Juta Pada Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Keyfield International Bhd mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM81.12 juta pada suku ketiga berakhir 30 September, 2024 berbanding RM45.78 juta pada suku sama tahun lepas.

Perolehan juga meningkat kepada RM216.79 juta berbanding RM148.95 juta sebelumnya, mencerminkan suku yang kukuh untuk perniagaan sewaan kapal syarikat itu, kata Keyfield dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi sembilan bulan terkumpul tahun kewangan 2024, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM181.45 juta daripada RM83.35 juta dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas manakala hasil juga melonjak kepada RM522.15 juta daripada RM310.92 juta sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Keyfield Datuk Darren Kee Chit Huei berkata prestasi kukuh suku dalam tinjauan disokong kebanyakannya oleh kadar penggunaan tinggi dan jumlah penggunaan kapal sendiri yang lebih tinggi. 

"Kami terus mengutamakan keperluan pelanggan Keyfield dan menyelaraskan keupayaan kapal kami dan keadaan operasi dengan keperluan kompleks mereka.

"Apabila kami mengembangkan perniagaan, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada keadaan dan keperluan pasaran, memastikan pertumbuhan mampan kami dengan memenuhi keperluan yang berubah-ubah itu," katanya.

Sementara itu, kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 4.0 sen sesaham biasa berjumlah RM32.1 juta, ia akan dibayar kepada pemegang saham yang berhak pada 19 Disember, 2024.

Pada penutupan dagangan hari ini, harga saham Keyfield meningkat satu sen kepada RM2.26 sesaham dan sebanyak 1.436 juta saham bertukar tangan.

-- BERNAMA