BERITA TERKINI   BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi diteruskan secara bersasar demi bantu pekebun kecil, pengusaha dan golongan rentan - PM Anwar | Untung bersih Axiata meningkat kepada RM273.80 juta pada suku pertama 2026 daripada RM159.84 juta bagi tempoh sama 2025 | MISC Bhd raih untung bersih lebih tinggi sebanyak RM741.4 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM705.7 juta pada suku sama 2025 | Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) disaran teroka potensi eksport produk sawit ke pasaran baharu -- Akmal Nasrullah | KPK teliti langkah mitigasi jangka sederhana dan panjang, termasuk pengukuhan kawalan harga dan anti pencatutan dalam input pertanian -- Akmal Nasrullah | 

Glide Technology Jangka Raih RM30 Juta Hasil Jualan Minyak Transformer Ester

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Glide Technology Sdn Bhd (Glide Technology) menyasarkan untuk meraih jualan sebanyak RM30 juta dalam tempoh lima tahun hasil pengkomersialan minyak transformer berasaskan ester minyak sawit yang dihasilkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)-Glide.

Presiden dan Pengasas Glide Technology Datuk Muhazli Muhamad berkata jualan itu akan diperoleh daripada pasaran Malaysia serta eksport di negara serantau.

Beliau berkata kerjasama dengan MPOB akan memanfaatkan sumber minyak sawit negara untuk menghasilkan produk yang seiring dengan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global.

"Kedudukan yang strategik membolehkan kami mendorong inovasi dengan mematuhi ESG, sekali gus memberi sumbangan besar kepada peralihan tenaga domestik dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian pengkomersialan di antara MPOB dengan Glide Technology bagi minyak transformer berasaskan sawit.

Katanya Glide Technology memberi tumpuan untuk memenuhi permintaan dalam sektor tenaga boleh baharu dan tenaga, digabungkan dengan kerjasamanya bersama MPOB dalam mengukuhkan peranan sebagai pengeluar Bumiputera.

Glide Technology akan membuat pelaburan awal sebanyak RM9.0 juta untuk membangunkan kemudahan pengeluaran canggih di Shah Alam, apabila pengeluarannya dijangka bermula pada suku ketiga 2025.

"Kami sudah mempunyai kilang di Shah Alam dan akan menubuhkan sebuah lagi kilang baharu bagi menghasilkan minyak transformer berasaskan ester minyak sawit MPOB-Glide. Pelaburan sebanyak RM9 juta ini adalah komitmen kami," kata Muhazli.

-- BERNAMA