BERITA TERKINI   ACC 2025/2026: JDT tundukkan Bangkok United FC 4-0 | Perdagangan barangan dua hala ASEAN-EU berjumlah US$292.8 bilion pada 2024, aliran masuk FDI dari EU ke ASEAN berjumlah US$20 bilion pada tahun yang sama - kenyataan bersama | Program Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-EU akan mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi strategik - kenyataan bersama | Malaysia menanti kehadiran Presiden Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, perkukuh kerjasama, kestabilan serantau - PM Anwar | Malaysia selaku Pengerusi ASEAN terus main peranan proaktif pastikan keamanan serantau, khususnya isu Kemboja-Thailand - PM Anwar | 

Inflasi Malaysia Diunjur Cecah Purata Antara 2.0 Hingga 3.5 Peratus Pada 2025 

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Inflasi Malaysia diunjurkan mencecah purata antara 2.0 hingga 3.5 peratus pada 2025, dengan mengambil kira langkah dasar domestik yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan api RON95 dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut diambil kira.

“Risiko kenaikan unjuran itu kekal bergantung kepada sejauh mana kesan daripada langkah dasar domestik seterusnya yang mempengaruhi harga secara lebih meluas.

“Risiko yang berlarutan daripada perkembangan luaran juga boleh meningkatkan harga komoditi global atau mengganggu keadaan bekalan global,” katanya semasa sidang media bagi mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2024 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata dari sudut negatif, inflasi domestik yang lebih rendah boleh berlaku akibat pertumbuhan global yang lebih lembap berbanding jangkaan, yang boleh mempengaruhi harga komoditi global dan keadaan ekonomi domestik melalui permintaan luaran yang lemah.

Bagi suku ketiga 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil pada 1.9 peratus.

“Walaupun ada beberapa item yang mengalami inflasi lebih tinggi, seperti diesel (20.1 peratus) dan insurans kenderaan (0.8 peratus) namun, ini telah diimbangi oleh penyederhanaan yang lebih menyeluruh bagi inflasi makanan dan minuman (1.6 peratus) sepanjang suku itu,” katanya.

Abdul Rasheed berkata inflasi asas yang stabil sepanjang suku itu menunjukkan kesan yang terhad kepada harga yang lebih luas susulan rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun.

Keadaan itu didorong oleh penguatkuasaan berkesan serta langkah mitigasi untuk meminimumkan kesan kos ke atas perniagaan, katanya.

Langkah menerusi Belanjawan 2025 iaitu pelaksanaan gaji minimum adalah tindakan yang positif untuk pertumbuhan ekonomi kerana akan menyokong penggunaan swasta.

“Dari segi inflasi, kita yakin kesanya akan agak terhad. Kita mendapati peningkatan gaji minimum yang dilaksanakan sebelum ini, kesannya ke atas inflasi adalah agak kecil,” katanya.

-- BERNAMA