BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Sentimen Berhati-hati, Ringgit Dijangka Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Urus niaga ringgit dijangka dalam julat lebih kecil pada minggu depan susulan aliran kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah unjuran pengurangan kadar faedah di negara maju itu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka bergerak pada paras 4.45 hingga 4.46 berbanding dolar AS minggu depan ketika pelabur terus berhati-hati terhadap prospek ekonomi global.

“Pasaran mata wang akan terus diselubungi sentimen berhati-hati ketika ketidaktentuan membabitkan dasar ekonomi AS terus ketara,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata ringgit mengukuh sebanyak 14.9 peratus berbanding dolar AS dalam suku ketiga 2024 dan seterusnya 3.1 peratus setakat 13 November lepas.

Bercakap pada pada sidang media mengumumkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Suku Ketiga 2024 di sini, hari ini, beliau berkata prestasi ringgit pada suku ketiga didorong terutamanya oleh peralihan Rizab Persekutuan AS (Fed) ke arah pelonggaran dasar monetari, termasuk penurunan kadar dana persekutuan sebanyak 75 mata asas pada September dan November.

Pada masa sama, BNM juga mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS dalam persekitaran peningkatan momentum susulan pemulihan sentimen terhadap mata wang negara maju berkenaan.

Dari segi perbandingan Jumaat hingga Jumaat pula menunjukkan prestasi ringgit yang susut nilai berbanding dolar AS kepada 4.4715/4780 daripada 4.3800/3850, seminggu lepas.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ini termasuk susut berbanding euro pada paras 4.7224/7292 berbanding 4.7212/7266 seminggu lepas dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8774/8818 daripada 2.8763/8798.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6573/6656 daripada 5.6765/6830 sebelum ini.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah termasuk turun berbanding peso Filipina kepada 7.61/7.63 daripada 7.51/7.53 pada akhir minggu lepas, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3330/3381 daripada 3.3149/3190 pada Jumaat lepas.

Ringgit juga rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 281.6/282.2 daripada 279.4/279.9, namun mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8307/8541 daripada 12.8710/8925, sebelum ini.

-- BERNAMA