BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Institusi Tempatan Jadi Pembeli Bersih Minggu Keempat Berturut-turut

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Institusi tempatan terus menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia bagi minggu keempat berturut-turut dengan pembelian bersih berjumlah RM207.7 juta minggu lepas manakala pelabur asing meneruskan aliran keluar daripada pasaran Asia.

Dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 15 November, MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) berkata institusi tempatan mencatat jualan bersih dalam masa singkat sebanyak RM1.4 juta pada Selasa tetapi menjadi pembeli bersih pada hari dagangan lain.

Antara saham paling menjadi buruan tinggi adalah MISC, Telekom Malaysia, IJM Corp, United Plantations dan Public Bank.

MIDF berkata pelabur runcit turut menjadi pembeli bersih, dengan pembelian bersih sebanyak RM52.1 juta minggu lepas dengan tumpuan pelaburan antaranya kepada Maybank, Genting Malaysia, Genting, dan Petronas Chemicals.

Sementara itu, pelabur asing kekal menjadi penjual bersih pada minggu keempat walaupun jualan berkurangan kepada RM259.8 juta daripada RM392 juta pada minggu sebelumnya.

"Aliran keluar bersih terbesar berjumlah RM104.4 juta pada Isnin diikuti RM67.6 juta pada Khamis," kata MIDF sambil memaklumkan aliran keluar harian turut direkodkan pada Selasa (RM17.2 juta), Rabu (RM46.6 juta) dan Jumaat (RM24.1 juta).

Sektor perladangan, penjagaan kesihatan dan hartanah mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi masing-masing sebanyak RM72.9 juta, RM64.0 juta dan RM29.0 juta,

Sebaliknya, sektor pengangkutan dan logistik (RM120.2 juta), utiliti (RM98.5 juta), dan produk serta perkhidmatan pengguna (RM79.2 juta) merekodkan aliran keluar asing bersih terbesar.

Di seluruh Asia, pelabur asing meneruskan jualan bersih bagi minggu ketujuh berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar mencapai paras tertinggi dalam tempoh enam minggu iaitu US$5.85 bilion. (US$1 = RM4.47).

Taiwan dan Korea Selatan meneraju aliran keluar memandangkan pelabur berdepan dengan kemungkinan impak daripada cadangan tarif dan dasar Donald Trump yang memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.

-- BERNAMA