BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

BMI Tingkat Unjuran KDNK Malaysia Kepada 4.7 Peratus Pada 2025

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, meningkatkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia 2025 kepada 4.7 peratus daripada 4.6 peratus sebelumnya, selaras dengan piawaian sebelum pandemik.

Prospek yang dikemaskini itu berada dalam julat jangkaan oleh kerajaan iaitu pada 4.0-5.0 peratus. 

"Pertumbuhan suku ketiga 2024 Malaysia meningkat lebih pantas daripada jangkaan, mendorong kami untuk menyemak semula unjuran 2024 kepada 5.0 peratus, berbanding 4.7 peratus sebelum itu.

"KDNK benar Malaysia berkembang pada 1.8 peratus suku ke suku pada suku ketiga, berbanding 2.9 peratus pada suku kedua, dan ini bersamaan dengan pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Firma penyelidikan itu berkata pelaburan tetap meningkat kepada 15.3 peratus tahun ke tahun bagi suku ketiga berbanding 11.5 peratus pada suku kedua, bagaimanapun, penggunaan swasta turun kepada 4.8 peratus berbanding 6.0 peratus pada tempoh sebelum itu.

Sementara itu, BMI berkata unjuran luaran juga menunjukkan peningkatan dengan pertumbuhan eksport naik kepada 11.8 peratus pada suku ketiga berbanding 8.4 peratus pada suku kedua. 

"Seperti yang kami jangkakan, prospek landskap pelaburan domestik kekal berdaya tahan, dengan pembentukan modal tetap kasar menyumbang 2.9 peratus mata kepada angka keseluruhan.

"Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah nilai aktiviti pembinaan yang telah siap naik suku ketiga berturut-turut kepada 22.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, daripada 20.2 peratus pada suku kedua," katanya.

BMI menjangkakan momentum ini akan berterusan pada 2025 berikutan projek berbilang tahun sektor swasta dan awam seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), yang akan menyumbang kepada realisasi pelaburan yang lebih tinggi. 

-- BERNAMA