BERITA TERKINI   China akan tandatangan Perjanjian SEANWFZ sebaik sahaja semua dokumen lengkap - Mohamad Hasan | Pelantikan hakim mahkamah atasan perlu ditangani dengan cermat, elak dipolitikkan - Istana Negara | Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Dipengaruhi Faktor Serantau

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah hari ini, dipengaruhi oleh penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Katanya, sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan dasar kewangan AS dan ketika peniaga meneliti laporan statistik getah yang dikeluarkan oleh Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC).

ANRPC melaporkan pengeluaran getah asli (NR) global melonjak pada Oktober 2024 mencecah 11.2 juta tan, iaitu meningkat 2.9 peratus dari tahun ke tahun, manakala permintaan global menyusut 4.5 peratus kepada 12.1 juta tan.

“Namun, penurunan berterusan berjaya dihadkan oleh pemulihan harga minyak mentah dan gangguan bekalan getah asli akibat keadaan cuaca tidak menentu di beberapa negara pengeluar utama,” katanya kepada Bernama

Memetik Jabatan Meteorologikal Thai, peniaga itu berkata hujan lebat mungkin menyebabkan berlakunya banjir kilat, termasuk di selatan Thailand, hingga 23 Nov, 2024.

Menurut Lembaga Getah Malaysia, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun 10 sen kepada 847.5 sen setiap kilogram manakala lateks pukal susut 2.0 sen kepada  678.5 setiap kilogram.

Pada jam 5 petang, SMR 20 kekal pada 841 sen setiap kilogram dan lateks pukal pada 678 sen setiap kilogram. 

-- BERNAMA