BERITA TERKINI   Gangguan elektrik KLIA2: Pengurusan MAHB dan gateway@klia2 diarah siap laporan dalam masa 24 jam - Loke | RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | 

Kerajaan Sedia Pelbagai Inisiatif, Insentif Pacu Industri Automotif Tempatan - MITI

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif dan juga insentif untuk industri automotif tempatan bagi meningkatkan eksport kenderaan termasuk alat ganti dan komponen, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian itu berkata insentif fiskal dan kewangan dari segi pengurangan cukai tidak langsung dan langsung telah dikekalkan di samping penyediaan skim kemudahan pembiayaan perdagangan dan perkhidmatan kepada pengeksport di bawah EXIM Bank.

“Antara inisiatif yang turut ditawarkan meliputi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi mendapatkan pengurangan duti import apabila dieksport ke negara-negara yang menjadi rakan dagang FTA,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia bagai menjawab soalan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai pembangunan industri automotif tempatan.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, MITI berkata pengurangan duti import yang diperoleh oleh pemain-pemain industri tempatan turut memberi kelebihan daya saing dari segi kos untuk memberikan peluang pasaran yang lebih besar kepada syarikat automotif tempatan.

“Selain itu, Malaysia melaksanakan kerjasama strategik di bawah ASEAN Mutual Recognition Arrangement (AMRA) bagi memberi kemudahan kepada syarikat automotif tempatan yang ingin mengeksport produknya.

"Dengan adanya AMRA, isu-isu berkaitan halangan teknikal untuk menjalankan perdagangan dan memenuhi perakuan kualiti serta keperluan ujian (testing requirements) dapat diatasi atau dikurangkan,” jelasnya lagi.

MITI turut berkata berdasarkan maklumat yang diberikan oleh syarikat pengeluar kenderaan jenama Proton dan Perodua, jumlah keseluruhan kenderaan bagi kedua-dua jenama itu yang dieksport bagi tempoh 2019 hingga September 2024 ialah 24,272 unit.

Daripada jumlah itu, sebanyak 17,118 unit adalah bagi model Proton, manakala baki 7,154 unit adalah bagi model Perodua.

-- BERNAMA