BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

BMW Group Malaysia Bincang Dengan Entiti Kerajaan Berkaitan Pemasangan EV

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- BMW Group Malaysia kini sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan rakan kongsi tempatan dalam rancangannya untuk memasang unit kenderaan elektrik (EV) di Malaysia seiring dengan pengecualian cukai untuk pemilik EV sehingga akhir 2025.

Bagaimanapun, Naib Presiden Kanan Jualan BMW Group bagi Asia Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika, Jean-Philippe Parain berkata rancangan itu memerlukan perancangan jangka panjang untuk proses peralihannya.

“Berdasarkan pengalaman saya dengan BMW yang menjalankan perniagaan di beberapa negara, apabila kerajaan mengurangkan subsidi, pilihan EV turut dikurangkan.

“Sebagai contoh...Korea Selatan, sebaik sejurus subsidi dikurangkan di negara itu, bilangan orang memilih EV juga menurun dan keadaan itu juga boleh dilihat di Eropah,” katanya pada sidang media pada Sesi Perbincangan Meja Bulat Media Strategi Jenama BMW Group Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusannya Benjamin Nagel berkata syarikat itu kini bekerjasama dengan entiti kerajaan dan rakan kongsi tempatan untuk membincangkan kitar semula bateri EV.

Selain itu, BMW Group Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata syarikat itu telah menjual lebih 8,700 kenderaan pada suku ketiga tahun ini.

Jumlah itu termasuk lebih daripada 1,600 model elektrik sepenuhnya, membentuk lebih 19 peratus daripada jumlah penghantaran, katanya.

Di peringkat global, Kumpulan BMW juga telah mencatatkan pertumbuhan luar biasa dalam segmen kenderaan elektriknya walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

“Antara Januari dan September 2024, syarikat itu menyaksikan peningkatan 19.1 peratus dalam jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) dengan lebih 300,000 unit dihantar kepada pelanggan di seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA