BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Malaysia Beri Keutamaan Kepada Perdagangan, Kesalinghubungan Pasaran Modal ASEAN Menjelang Kepengerusian ASEAN 2025

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Malaysia akan memberi keutamaan kepada peningkatan memudah cara perdagangan dalam kalangan negara ASEAN dan mengukuhkan kesalinghubungan pasaran modal ASEAN, mengiktiraf kepentingan strategik pasaran modalnya susulan negara bersiap sedia untuk mempengerusikan ASEAN pada 2025, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata antara keutamaan Malaysia di bawah landasan kewangan mesyuarat ASEAN tahun depan ialah mewujudkan mekanisme untuk meningkatkan dalam memudah cara perdagangan dalam kalangan negara anggota dan menyelaraskan sistem pembayaran di seluruh ASEAN.

Selain itu, katanya keutamaan ialah meningkatkan integrasi pasaran modal ASEAN, dengan memberi tumpuan kepada inisiatif seperti pengiktirafan bersama tawaran awam permulaan (IPO) baharu di seluruh rantau ini.

“Ia merupakan aspek penting dalam matlamat kami untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN bagi memperkukuh dan meningkatkan kesalinghubungan dalam pasaran di rantau ini.

“ASEAN mempunyai pengaruh yang ketara sebagai blok perdagangan,” katanya pada Sesi Bual Santai pada Perhimpunan Agung dan Mesyuarat Tahunan Persekutuan Bursa Dunia (WFE) ke-63 di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya pada masa ini, kadar penembusan perdagangan rentas ASEAN adalah lebih rendah daripada apa yang mereka jangkakan atau percaya ia boleh dicapai.

“Jika kita dapat mengatasi halangan mental bahawa ASEAN mencapai manfaat yang lebih besar untuk semua melalui kerjasama, saya percaya masa depan ASEAN adalah cerah,” katanya.

ASEAN, terdiri daripada Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, mewakili blok dengan populasi melebihi 700 juta di seluruh rantau ini.

Amir Hamzah menekankan bahawa ASEAN boleh mencapai hasil yang lebih berkesan apabila bekerjasama, terutamanya dalam isu perubahan iklim.

Dalam dunia menghadapi cabaran perubahan iklim, beliau menegaskan bahawa ASEAN perlu memberi tumpuan kepada tindakan setiap negara, menyokong peralihan yang adil dan memudahkan penjanaan modal untuk kemampanan ekonomi.

Beliau berkata walaupun pasaran modal adalah penting, agensi multilateral global juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan kos dan membantu peralihan.

-- BERNAMA