BERITA TERKINI   98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | Kerajaan MADANI ambil pendekatan adakan libat urus dengan kerajaan negeri bagi tentukan keutamaan projek pembangunan - PM Anwar | 

Ringgit Meningkat Berbanding Dolar AS

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Ringgit terus disokong dengan baik dan mengekalkan momentum menaik, meningkat 0.12 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebelum ditutup pada Rabu.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4685/4740 berbanding dolar AS, daripada 4.4705/4750 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi itu didorong oleh permintaan berterusan.

“Keadaan terlebih jual yang dialami ringgit dari sudut pandang teknikal mungkin memberi dorongan kepada pelabur untuk beli.

“Susulan ketiadaan data utama di AS minggu ini, sentimen pasaran akan kekal terkawal,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan turun berbanding pound British kepada 5.6620/6690 daripada 5.6449/6506 ketika ditutup semalam, dan susut berbanding euro kepada 4.7178/7236 daripada 4.7150/7198.

Bagaimanapun, ringgit tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.8696/8733 daripada 2.9078/9109 sebelum ini.

Bagaimanapun, unit domestik diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.58/7.59 daripada 7.60/7.61 ketika ditutup pada Selasa, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 281.5/282.0 daripada 282.1/282.5.

Ringgit juga tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.3290/3333 daripada 3.3345/3381 semalam dan lebih kukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8679/8889 daripada 12.9201/9384.

-- BERNAMA