BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah 3.2 magnitud di Segamat pagi ini susulan kejadian gempa di daerah sama 24 Ogos lalu - KP MetMalaysia | Orang ramai tidak perlu bimbang, gempa bumi Segamat berlaku pada magnitud lemah - KP MetMalaysia | Kerajaan Johor pantau keadaan jambatan, jalan raya, empangan serta fasiliti utama susulan gempa bumi lemah di Segamat - Exco | Malaysia dan Brunei menggalakkan Petronas dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam untuk memajukan projek bersama dan merealisasikan potensi penuhnya dalam jangka masa yang dipersetujui bersama - Kenyataan Bersama | Malaysia dan Brunei akan memanfaatkan sumber bersama dan kelebihan geografi Borneo untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan tenaga, membina rantaian bekalan berdaya tahan serta mewujudkan peluang mampan untuk rakyat - Kenyataan Bersama | 

DRB-Hicom Raih Untung Sebelum Cukai RM282.56 Juta Bagi Sembilan Bulan Pertama 2024

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- DRB-Hicom Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah RM282.56 juta bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 Sept 2024, didorong perolehan yang stabil sebanyak RM12.23 bilion, dengan peningkatan 1.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata pertumbuhan perolehan itu mencerminkan daya tahan dan keupayaannya untuk menyesuaikan dengan keadaan pasaran yang berubah, dipacu oleh sumbangan daripada sektor terasnya walaupun terus berdepan cabaran.

Bagaimanapun, kumpulan itu merekodkan kerugian bersih sebanyak RM5.29 juta pada suku ketiga 2024 daripada keuntungan bersih RM70.80 juta pada suku ketiga 2023.

DRB-Hicom berkata prestasi kewangan yang lebih rendah itu terutamanya disebabkan pengurangan bahagian hasil daripada usaha sama dan syarikat bersekutu di bawah sektor pengedaran automotif.

Selain itu, penurunan itu didorong oleh volum jualan kenderaan yang lebih rendah dan kerugian mark-to-market terhadap derivatif berjumlah RM80.27 juta pada suku semasa.

Bagaimanapun, hasil naik sebanyak 3.4 peratus kepada RM4.13 bilion daripada RM4.00 bilion sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh jualan lebih tinggi daripada sektor perbankan, perkhidmatan, aeroangkasa dan pertahanan, katanya.

Kumpulan automotif Malaysia itu berkata pertumbuhan hasil itu mencerminkan daya tahan dan keupayaan kumpulan itu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berkembang, didorong oleh sumbangan daripada sektor terasnya walaupun menghadapi cabaran ketika ini.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangannya berakhir pada 31 Dis 2024, keuntungan bersih kumpulan itu menyusut kepada RM69.17 juta berbanding RM212.42 juta dicatatkan pada sembilan bulan pertama 2023 manakala hasil pula meningkat kepada RM12.23 bilion pada sembilan bulan pertama 2024 berbanding RM12.08 bilion sebelumnya.

“Hasil sektor perbankan meningkat sebanyak 26.2 peratus kepada RM1.59 bilion untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 (2023: RM1.26 bilion), dipacu oleh pendapatan pembiayaan lebih tinggi, disumbangkan oleh pertumbuhan dalam volum pembiayaan.

“Hasil sektor aeroangkasa dan pertahanan meningkat sebanyak 24.0 peratus kepada RM584.05 juta (2023: RM470.83 juta), mencerminkan penghantaran pesawat lorong tunggal dan bahagian pesawat terpilih lebih tinggi,” katanya.

Kumpulan itu berkata hasil sektor perkhidmatan melonjak sebanyak 13.4 peratus kepada RM691.50 juta (2023: RM609.93 juta), disokong oleh peningkatan aktiviti dalam perniagaan katering dalam penerbangan dan pengendalian darat seiring dengan pemulihan dalam perjalanan udara.

Mengenai prospek, DRB-Hicom berkata ia mengekalkan prospek yang memuaskan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.

“Tumpuan strategik DRB-Hicom terhadap transformasi digital menjangkau pelbagai sektor perniagaan termasuk sektor perbankan dan pos, bertujuan untuk mengoptimumkan kecekapan operasi,” katanya.

-- BERNAMA